sukan

Ini Penjelasan kenapa Kos pembangunan semula luar jangkaan

Kenapa kos pembangunan semula Stadium Shah Alam menelan belanja sehingga RM787 juta, iaitu hampir sekali ganda dengan kos pembinaannya bernilai RM480 juta?

Kos yang diumumkan Menteri Besar (MB) Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari selepas majlis menyampaikan Surat Niat (LOI) untuk pembangunan semula stadium itu kepada Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) kelmarin menimbulkan perdebatan dalam kalangan penyokong bola sepak.

Ada yang menyatakan jumlah itu tidak wajar apabila membandingkan dengan kos pembinaan Stadium Sultan Ibrahim milik pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) yang hanya menelan kos dianggarkan sebanyak RM200 juta.

Pada sidang media yang berlangsung kelmarin, Amirudin menjelaskan banyak elemen perlu dititikberatkan dalam usaha membangunkan semula stadium keramat itu dan ia tidaklah semudah untuk menggantikan mana-mana bahagian yang dirasakan perlu diperbaiki.

Untuk menggantikan sahaja elemen tertentu, belum tentu secara keseluruhan kerana bangunan yang seketul itu mempunyai jaringan sendiri. Strukturnya, pendawaiannya, perpaipan jadi kalau tanya saya, kita lebih yakin untuk bangunkan semula stadium itu.

Stadium lain tidak sebesar Stadium Shah Alam dan tidak berdepan beberapa situasi seperti bencana banjir pada 2006, 2015 dan 2021. Banjir menyebabkan kerosakan pada beberapa perkara seperti bilik persalinan, sistem pendawaian elektrik, sistem bilik bekalan elektrik dan litar pintas yang tidak selamat untuk kita teruskan.

Kita baikpulih lagi selepas banjir dan ia berlaku lagi. Ini membabitkan kos untuk menaikkan platformnya supaya tidak lagi akan terkena banjir pada masa depan. Sebab itulah kosnya jadi lebih kurang sehingga RM700 juta.

Bukan sahaja membabitkan platform stadium yang lebih tinggi tetapi juga untuk sistem saliran yang lebih berkesan serta berkualiti. Untuk menggantikan sistem pendawaiannya menerusi penilaian pada 2013 pun, ia menelan kos sebanyak RM30 juta.

“Satu lagi perkara membabitkan polikarbonat (untuk bumbung). Ia dari luar negara dan untuk menggantikan sekeping pun, minimum RM500 ke RM1000 kerana kos untuk gunakan kren bagi menggantikannya seperti yang kita buat pada 2017.

“Kita juga perlu mempertimbangkan mengenai isu perpaipan juga. Selepas 2013, kita nilai angkanya adalah RM350 juta, jadi ini satu angka yang besar pada waktu itu dan sekarang pun kos sudah meningkat.

“Kita gunakan pertimbangan untuk bangunkan semula dan cuba berusaha ke arah itu namun usaha itu terhenti pada 2019 kerana pandemik,” katanya.

Difahamkan, kos penyelenggaraan yang sudah dilaksanakan sejak 2013 menelan belanja sehingga RM56 juta untuk memperbaiki dan menaiktaraf bagi memulihkan keadaan Stadium Shah Alam daripada semasa ke semasa.

Amirudin turut menjawab kebimbangan mengenai bebanan kewangan yang akan ditanggung kerajaan negeri akibat daripada projek ini ketika rakyat menghadapi cabaran kos sara hidup seperti inflasi.

Projek pembangunan in akan menjadi satu perkongsian awam-swasta dengan penyelesaian menang-menang untuk semua. Di pihak kerajaan negeri, tiada dana awam yang akan digunapakai untuk projek ini.

sumber:- BH

“Usaha ini bukan sahaja berteraskan kelestarian kewangan tetapi juga kelestarian alam sekitar kawasan ini. Kami juga menjangkakan kesan limpahan ekonomi yang amat besar bukan sahaja di kawasan sekitarnya tetapi juga kepada negeri Selangor secara keseluruhannya,” katanya.