sukan

Kehadiran Bekas pemain Singapura di Liga M

Kelab Bolasepak Sri Pahang (SPFC) hari ini mengumumkan pengurus pasukan, Dollah Salleh dilantik sebagai ketua jurulatih Sri Pahang.

Pelantikan ketua jurulatih itu diumum menerusi Facebook rasmi Sri Pahang FC yang mengesahkan Dollah akan mengendalikan skuad itu sehingga berakhir Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Dollah mengambil alih tugasan daripada Christophe Gamel yang tidak diteruskan khidmat. Justeru, kelab mengucapkan terima kasih dan selamat maju jaya kepada Gamel, kata kenyataan itu.

Sementara itu, Sri Pahang turut berbesar hati mengumumkan Fandi Ahmad yang juga bekas pemain Singapura sebagai penasihat teknikal kelab itu.

Fandi bukanlah nama asing dalam kalangan penyokong Sri Pahang kerana beliau pernah menyarung jersi Tok Gajah selama dua musim dan anggota skuad kejuaraan berganda Liga Premier dan Piala Malaysia 1992.

“Semoga kepakaran dan pengalaman Fandi akan memanfaatkan pasukan Sri Pahang,” kata kenyataan itu.

Minggu lalu, Sri Pahang membuat keputusan tidak meneruskan khidmat Gamel sebagai ketua jurulatih.

Antara faktor keputusan itu ialah prestasi hambar yang dipersembahkan skuad Tok Gajah hingga terperosok di kedudukan kedua tercorot Liga Super.

sumber:- HM

Biarpun ura-ura nama Fandi bakal dilantik menggantikan Gamel sebelum ini, pengurusan kelab membuat keputusan menamakan Dollah sebagai ketua jurulatih. Dengan kembalinya Dollah dalam barisan kejurulatihan, peminat Tok Gajah sudah pasti mahu bekas pemain kebangsaan itu dapat meletakkan Sri Pahang pada prestasi terbaik.