sukan

Tertarik dengan kehebatan Yang ada pada Al Mardi

KELIBAT pemain kebangsaan Jordan, Mahmoud Al Mardi bersama pasukan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) musim ini kian mendapat perhatian para peminat Sang Kenari.

Bukan hanya kerana cemerlang di tengah padang selepas menjaringkan dua gol ketika bertemu Sarawak United FC , namun susuk tubuh pemain berusia 28 tahun itu dikagumi ramai kerana dia cukup dikenali taat dengan ajaran Islam.

Perkataan ‘Alhamdulillah’ tidak pernah lekang daripada bibirnya setiap kali bertemu wartawan bahkan dia juga sering kali memuat naik petikan ayat al-Quran serta kata-kata memuji Allah di laman media sosial miliknya.

Al Mardi juga sering melakukan sujud setiap kali menja­ringkan gol dan dia amat tertib apabila dilihat duduk setiap kali minum di tepi padang.

Malah, ketika diminta me­ngulas mengenai gol keduanya malam tadi yang terhasil cukup cantik menggunakan kaki kiri dari luar kotak penalti, Al Mardi menyifatkan semuanya adalah atas keizinan Allah dan bukan kerana dirinya sendiri.

Pertama sekali, Alhamdulillah, malam ini satu pengalaman menarik buat saya apabila dapat menjaringkan dua gol pada aksi di Stadium Darul Aman. Apa yang penting sebenarnya tiga mata buat pasukan dan insya-Allah, selepas ini kita akan berusaha mendapatkan hasil lebih baik.

“Berkenaan gol kedua itu, semuanya datang daripada Tuhan dan bukan daripada saya. Saya pernah melakukan jaringan hampir sama pada Liga Bahrain tahun lalu dan kini, sekali lagi ia terjadi di sini,” katanya.

Jaringan Al Mardi pada minit ke-79 hadir dalam cara agak ‘mengejutkan’ apabila dia yang memulakan gerakan satu dua bersama Mohammad Fayadh Zulkifli sebaik mengambil sepakan sudut, tiba-tiba melakukan satu sepakan lambung menggunakan kaki kiri, sekali gus menyebabkan penjaga gol Sarawak, Tauffiq Ar Rasyid Johar terduduk melihat bola masuk ke gawang.

Sebelum kehadiran gol tersebut, Al Mardi terlebih dahulu membuka jaringan pada minit ke-8 sebelum Ronald Ngah Wanja turut menghasilkan satu lagi gol pada minit ke-74 untuk meletakkan KDA FC selesa membenam Sarawak United 3-1 di laman sendiri.