sukan

Peluang pasukan sendiri gandakan pendapatan

Pertambahan pasukan Liga Super kepada 18 kelab musim depan sudah tentu membabitkan pertambahan kos, namun pada masa sama boleh menjana ‘wang saku’ tambahan kepada pasukan khususnya yang memiliki kelompok penyokong besar.

Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Stuart Ramalingam menjelaskan keputusan badan pengendali liga itu untuk melakukan penstrukturan semula Liga Super bermula musim depan bakal menjana perniagaan menguntungkan pelbagai pihak.

Kira-kira 70-90 peratus kos setiap pasukan adalah gaji. Dengan pertambahan perlawanan, ini peluang untuk pasukan menjana pendapatan bagi menampung 90 peratus bagi pembayaran gaji pemain itu.

Pertambahan perlawanan di tempat sendiri dan tempat lawan serta perlawanan lain lagi, ini adalah potensi perniagaan yang saya harap boleh dilihat oleh pihak lain. Pasukan yang ada kelompok penyokong besar menantikan perlawanan yang lebih banyak.

“Pembayaran gaji pun memang sudah komited untuk 11 bulan jadi sebenarnya tidak banyak berubah untuk kos pembayaran gaji mereka (selepas penstrukturan Liga Super 2023),” katanya.

Terdahulu, Arena Metro melaporkan jurulatih berpengalaman, Azraai Khor Abdullah melihat penambahan pasukan Liga Super bermula musim depan memberi kesan kepada kewangan pasukan hingga boleh menyebabkan berlakunya masalah seperti tunggakan gaji.

Walaupun dilihat idea berkenaan cukup baik dan positif, Azraai mengganggap kesediaan pasukan untuk memberi komitmen kepada perjalanan liga yang lebih panjang serta pertambahan kos perlu dipertimbangkan MFL bagi memastikan tiada masalah timbul selepas pelaksanaannya nanti.

sumber:- HM

Dalam perkembangan lain, Presiden MFL. Datuk Ab Ghani Hassan berkata, Skuad Projek Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)-MSN yang ketika ini bersaing dalam Liga Perdana akan menyertai pasukan Liga Simpanan musim depan. “Skuad Projek FAM-MSN ini adalah skuad pembangunan di peringkat FAM itu sendiri maka kita kekalkan dalam Liga Simpanan. Tujuan kita adakan pelapis adalah untuk menyemarakkan bola sepak negara dan pelapis ini penting untuk kita sediakan skuad B-23 negara,” katanya.