sukan

Komen Bernas TMJ Untuk Mora

Pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengucapkan terima kasih kepada bekas pengendali Harimau Selatan, Benjamin Mora.

Ucapan itu sebagai jawapan balas terhadap kenyataan Mora di laman Instagram miliknya, semalam yang menganggap Tunku Ismail sebagai mentornya dan menjadi watak penting sehingga dia berjaya dalam bidang kejurulatihan.

“Gracias Benja,” tulis Tunku Ismail sambil berkongsi kenyataan Mora di ruangan Instastory, semalam.

Kelmarin, JDT mengumumkan perpisahan dengan Mora selepas pengendali berusia 43 tahun itu meminta untuk membenarkannya pulang ke Mexico bagi menyelesaikan urusan peribadi yang tidak dapat dielakkan.

Mora jurulatih JDT yang paling berjaya dengan empat kejuaraan Liga Super, empat Piala Sumbangsih, satu Piala Malaysia dan membawa JDT ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara Asia (ACL) tahun ini.

Dia mengendalikan 148 perlawanan sepanjang dua kali tugasan sebagai jurulatih JDT sejak 2017 dan memenangi 102 perlawanan.

sumber:- BH

Semalam, JDT mengumumkan bekas pemain Venezuela, Hector Bidoglio sebagai ketua jurulatih Harimau Selatan yang baharu berkuat kuasa serta merta.