sukan

Malaysia Menang Mudah

Pasukan badminton campuran negara memulakan kempen pada temasya Sukan Komanwel 2022 dengan sempurna, apabila dengan mudah membenam Zambia 5-0 pada aksi pembukaan Kumpulan D, di sini semalam.

Semua pemain Malaysia tidak berhadapan tentangan hebat, dari pasukan benua Afrika itu yangternyata bukan lawan mereka pada perlawanan berlangsung di The National Exhibition Centre (NEC).

Pemain beregu campuran profesional negara, Tan Kiang Meng-Lai Pei Jing memberikan mata pertama Malaysia selepas mudah mengalahkan pasangan Kalombo Mulenga-Ogar Siamupangila 21-6, 21-3.

Pemain perseorangan utama, Ng Tze Yong kemudiannya memberikan mata kedua dengan mengatasi Chongo Mulenga 21-8, 21-8.

Pemain persendirian perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei pula bermain tanpa sebarang tekanan apabila Elizabeth Chipleme yang melakukan kesilapan mudah, membantu pemain dari Pulau Pinang itu memberikan Malaysia mata ketiga dengan menang 21-1, 21-2.

Pasangan beregu lelaki Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan beregu wanita Pearly Tan-M.Thinaah, juga tidak berhadapan masalah untuk menyumbang dua lagi mata untuk Malaysia.

Aaron-Wooi Yik menewaskan Chongo Mulenga-Kalombo Mulenga 21-13, 21-9, manakala Pearly-Thinaah menewaskan Elizabeth Chipeleme-Ogad Siamupangila, 21-3, 21-5.

Tze Yong yang ditemui selepas perlawanan itu berkata beliau masih perlu memberbaiki permainannya terutamanya dalam mengawal permainan untuk perlawanan seterusnya.

“Masih tidak dapat ‘feel’ lagi dan pergerakan bola di sini agak perlahan,” katanya.

Malaysia, yang buat kali terakhir memenangi pingat emas di Glasgow 2014, berpeluang untuk menempah tempat ke suku akhir lebih awal, apabila dijadualkan bertemu Jamaica pukul 7 petang di sini (2 pagi waktu Malaysia).

sumber:- BH

Pasukan kebangsaan itu akan melengkapkan perlawanan Kumpulan D, dengan bertemu Afrika Selatan, hari ini.

– BERNAMA