Steven Rodriguez dan Abdul Malik Mat Ariff terus menjadi sandaran Sri Pahang FC apabila melayan kunjungan Kedah Darul Aman (KDA) FC di Stadium Darul Makmur, malam ini.
Gandingan mantap yang dipamerkan dua striker itu mendapat kepercayaan pengendali Tok Gajah, Dollah Salleh dalam meneruskan rentak cemerlang skuad itu.
Justeru, Dollah mahu anak buahnya mengekalkan rentak cemerlang seperti yang dilakukan ketika menewaskan Selangor FC 2-0 pada 27 Julai lalu.
Rodriguez dan Malik akan berada dalam kesebelasan utama dan diharap dapat meneruskan aksi cemerlang mereka untuk membolosi gawang lawan.
Pada masa sama, pemain lain dapat bermain dengan baik untuk menyekat lawan daripada menembusi benteng pasukan.
Ini kerana lima perlawanan tanpa kemenangan yang dialami dan bangkit meraih kemenangan ke atas Selangor akan membantu memberi semangat untuk mencatat kemenangan.
“Bagaimanapun, saya akui Sri Pahang masih dalam proses untuk membentuk pasukan yang terbaik terutama meningkatkan prestasi pemain,” katanya.
Selepas mengharungi 12 perlawanan, Sri Pahang berada di kedudukan sembilan liga dengan mengutip 11 mata.
Berdasarkan rekod pertemuan pada pusingan pertama Liga Super, Sri Pahang tewas 0-1 di tangan KDA pada 6 April lalu.
Kekalahan 1-2 KDA kepada Kuala Lumpur City FC pada 27 Julai lalu, bakal memberikan kelebihan buat skuad Tok Gajah.
Bagaimanapun, Dollah meminta anak buahnya supaya berwaspada dengan corak permainan lawan bagi mengelak keciciran mata.
sumber:- HM
“Kita perlu kekalkan rentak kemenangan untuk memperbaiki kedudukan terbaik dalam saingan liga musim ini,” katanya.