Pendahulu Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) dijangka akan meneruskan rentak kemenangan apabila melayan kunjungan Kuala Lumpur (KL) City di Stadium Sultan Ibrahim, malam ini.
Sejarah hitam tumpas 2-0 di tangan KL City pada final Piala Malaysia musim lalu seakan sudah dipadam JDT dengan merekodkan dua kemenangan ke atas City Boys tahun ini termasuk ketika aksi Piala Sumbangsih dan pusingan pertama liga.
Jadi, dengan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri serta persembahan konsisten yang dipamerkan barisan pemain JDT, tiada masalah untuk juara bertahan lapan kali berturut-turut itu meraih kemenangan ke-11 dan melebarkan rekod tanpa kalah musim ini.
Namun, perkara paling menarik bagi perlawanan kali ini adalah penampilan sulung pengendali baharu JDT, Hector Bidoglio dengan dia sudah memulakan tugas selepas diumumkan sebagai pengganti Benjamin Mora, Khamis lalu.
Taktikal dan percaturan ‘anak murid’ pengurus tersohor Marcelo Bielsa itu akan menjadi perhatian pemerhati dan peminat khususnya penyokong Harimau Selatan.
Perlawanan lebih sengit diramal berlangsung di Stadium Darul Makmur, Kuantan apabila Sri Pahang akan berdepan naib juara musim lalu, Kedah Darul Aman (KDA).
Kejayaan Sri Pahang menewaskan Selangor 2-0 di gelanggang sama, Rabu lalu seharusnya menjadi amaran awal buat KDA bahawa mereka perlu berwaspada dengan kebangkitan Tok Gajah.
Jika tidak, terdapat kemungkinan bahawa anak buah Aidil Sharin Sahak juga boleh menerima nasib sama seperti yang menimpa Gergasi Merah.
Namun, Aidil sedar mengenai perkara itu selepas dia mengakui Tok Gajah kini sudah bangkit di bawah kendalian Dollah Salleh selain dibantu penasihat teknikal, Fandi Ahmad.
Ketika Sri Pahang sedang memulihkan reputasi mereka, KDA yang berada di kedudukan lebih baik dalam liga turut berdepan prestasi turun naik apabila menang lima kali, seri dua kali dan lima kali tewas dalam 12 perlawanan.
Sri Pahang dan KDA boleh dianggap sama-sama terdesak untuk mendapat tiga mata dengan kedua-duanya sedang berusaha untuk menempatkan diri di kedudukan terbaik dalam liga.
Satu lagi perlawanan liga akan berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin yang menemukan Terengganu FC (TFC) dan Petaling Jaya (PJ) City.
Meskipun anak buah Nafuzi Zain memegang status pasukan pilihan untuk memenangi perlawanan, namun skuad Penyu perlu mengelak daripada sikap terlalu yakin yang boleh memakan diri.
sumber:- BH
Ia kerana PJ City yang tidak memiliki sentuhan pemain import tetap dianggap sebagai antara pasukan liat dan terkenal sebagai ‘pembvnuh pasukan gergasi’.