sukan

Kejayaan Ng Tze Yong kejutkan bekas No 1 dunia

PERSEMBAHAN memukau pemain perseorangan lelaki utama negara, Ng Tze Yong pada aksi final acara berpasukan campuran merupakan titik tolak kejayaan gemilang Malaysia dalam merampas kembali emas dengan menewaskan juara bertahan India 3-1, pada Sukan Komanwel Birmingham 2022, malam tadi.

Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria ternyata kagum dengan semangat juang tinggi dimiliki pemain ranking 42 dunia itu dalam mengejutkan bekas pemain nombor satu dunia Kidambi Srikanth, 21-19, 6-21, 21-16 sekali gus menyumbang mata kedua negara pada perlawanan berlangsung di Dewan 5 Pusat Pameran Nasional, di sini.

Tze Yong nampaknya dapat mengatasi situasi sukar dengan menampilkan prestasi amat baik dan momentum itu disambung beregu wanita kita, Pearly Tan-M. Thinaah yang menewaskan Treesa Jolly-Gayatri Gopichand Pullela, 21-18, 21-17 untuk menghadiahkan kejayaan luar biasa ini.

Perlu diingat kita merupakan ‘underdog’ (bukan pilihan) sebelum final dan bukannya ‘favourite’ (pasukan pilihan) namun kita berjaya buktikan tiada yang mustahil, katanya kepada pemberita selepas majlis pengalungan pingat.

Beliau pada masa sama menjelaskan para pemain negara nampaknya telah belajar daripada kesilapan semasa Piala Thomas 2022 di Bangkok, Thailand Mei lepas, yang menyaksikan pentingnya untuk mencuri mata daripada kem perseorangan seperti dilakukan Tze Yong semalam.

Malaysia yang tewas 2-3 kepada India pada suku akhir Piala Thomas 2022 menyaksikan dua daripada tiga perseorangan negara ketika itu tumpas seterusnya mengakibatkan mereka terus kempunan menamatkan kemarau 30 tahun tanpa sebarang gelaran dalam kejohanan berprestij badminton berpasukan dunia itu.

Beliau juga turut berbangga dapat melihat barisan pemain muda membalas dendam kekalahan perit 3-1 kepada India pada edisi Gold Coast 2018, dengan pasukan lawan mengejutkan pemain senior negara diketuai legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei.

“Pada 2018, India yang ketika itu dibarisi pemain muda seperti Srikanth serta gandingan beregu Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty menewaskan pemain senior kita, namun pencapaian hari ini ibarat satu kejayaan balas dendam dilakukan pemain muda kita,” katanya.

Justeru, Mohamad Norza yang juga Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) berkata, sokongan padu diperlukan daripada semua pihak dalam memastikan pemain muda ketika ini dapat mengecapi kejayaan lebih membanggakan dalam masa dua hingga tiga tahun dari sekarang.

Dalam pada itu, Mohamad Norza juga mengakui beban dipikul skuad badminton pada temasya sukan berprestij itu kini sudah berkurangan susulan kejayaan menghadiahkan emas ketiga negara setakat ini.

Bagaimanapun, beliau memaklumkan para pemain badminton negara yang dilihat masih dahagakan kejayaan diharap mampu memberi aksi terbaik mereka dalam acara individu pula selepas ini, sekali gus membantu BAM mencapai sasaran dua emas yang perlu diraih di sini.

sumber:- SH

Pencapaian dilakar skuad badminton negara itu menyaksikan Malaysia kini muncul negara terbanyak memenangi emas acara berpasukan campuran pada temasya sukan empat tahun sekali itu iaitu pada edisi Melbourne 2006, New Delhi 2010 dan Glasgow 2014. – Bernama