sukan Syok Woo Baca

Malaysia B-16 masih belum selesa

SKUAD Harimau Muda masih perlu melakukan beberapa penambahbaikan biarpun meraih tiga mata ke atas Kemboja dalam aksi pembukaan Kumpulan C Kejuaraan AFF B-16 di Stadium Maguwoharjo, Sleman di Indonesia.

Biarpun mengakui berpuas hati komitmen dalam kalangan pemainnya, pengendali skuad B-16 negara, Osmera Omaro, mengakui anak buahnya masih mengulangi kesilapan kecil yang dikhuatiri memberikan kesan kepada pasukan.

Masih ada beberapa perkara kecil yang perlu mereka perbaiki jika mahu mara lebih jauh pada kejohanan kali ini.

“Bagaimanapun, kesungguhan dan semangat yang dipamerkan pada aksi berdepan Kemboja perlu diteruskan menjelang pertemuan kedua dengan Myanmar, Jumaat ini,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Skuad B-16 negara memulakan kempen langkah kanan kumpulan dengan kemenangan 3-0 hasil jaringan Arami Wafiy Zakimi (6′), gol sendiri pemain Kemboja, Tum Sophat (58′) dan Faris Danish Asrul (78′).

Kemenangan itu membolehkan Harimau Muda B-16 memimpin Kumpulan C dengan berkongsi tiga mata bersama Myanmar, namun dibezakan jumlah perbezaan jaringan.

Untuk rekod, hanya juara dari setiap tiga kumpulan dan satu naib juara terbaik akan layak ke separuh akhir temasya tersebut.

Anak buah Osmera bakal berdepan Myanmar bagi perlawanan kedua kumpulan pada Jumaat ini.

Mengenai persediaan berdepan Myanmar, Osmera berkata, beliau sudah memiliki beberapa maklumat mengenai pasukan yang akan dianalisis sebelum mencorakkan percaturan taktikal bersesuaian.

Jelasnya, analisis itu diharap dapat dimanfaatkan para pemain dalam usaha melakar keputusan positif ke atas Myanmar seterusnya mencerahkan peluang ke separuh akhir.

sumber:- SH

“Apa yang boleh saya katakan tidak banyak perbezaan antara Kemboja dan Myanmar. Bagaimanapun, kita akan tetap bersedia saya mengingatkan para pemain agar tidak memandang mudah keupayaan lawan,” katanya.