sukan Syok Woo Baca

Tiga mata berharga

Tiga mata berharga menjadi buruan skuad bawah 16 (B-16) tahun negara menjelang pertemuan dengan Myanmar dalam aksi Kejuaraan B-16 AFF di Stadium Maguwoharjo, Sleman, Indonesia malam ini.

Kemenangan ke atas Myanmar sangat diperlukan anak buah Osmera Omaro untuk terus membuka peluang lebih cerah ke separuh akhir selepas menundukkan Kemboja 3-0 pada aksi pertama mereka dalam Kumpulan C, Selasa lalu.

Tugas pemain muda negara dijangka tidak mudah apabila berdepan Myanmar yang berjaya melakar kejutan menewaskan Australia 3-2 pada aksi sebelum ini.

Osmera menjelaskan barisan kejurulatihan akan membuat analisis lebih terperinci mengenai corak permainan Myanmar berdasarkan aksi lawannya itu ketika berdepan Australia.

Malah, dia bagaimanapun menjangkakan bahawa tiada perbezaan besar dari segi permainan pasukan Myanmar dengan Kemboja.

“Buat masa ini kita sudah ada sedikit maklumat mengenai Myanmar sebab mereka bermain lebih awal dari kita. Kita akan buat perancangan permainan berdasarkan analisis perlawanan Myanmar lawan Australia,” katanya.

Skuad negara ketika ini menghuni kedudukan teratas Kumpulan C dengan mengumpul tiga mata, manakala Myanmar yang turut memiliki jumlah mata sama di kedudukan kedua.

sumber:- BH

Anak buah Osmera perlu muncul juara Kumpulan C untuk mengesahkan slot automatik ke separuh akhir kerana tiga juara kumpulan dan satu naib juara kumpulan terbaik akan mara.