sukan

JDT berbangga dengan corak DNA TMJ

Jika sesetengah kelab berbangga dengan corak dan gaya permainan ala Eropah mahupun Latin, juara lapan kali berturut-turut Liga Super iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT) pula lebih berbangga dengan sistem tersendiri atau dikenali dengan DNA TMJ.

Berkongsi perkara terbabit, pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengakui menggunakan formula tersendiri untuk menguruskan skuad Harimau Selatan hingga mampu menjulang 32 trofi sepanjang sedekad lalu.

Malah, sejak mengambil alih Persatuan Bolasepak Negeri Johor pada 2012 sebelum menjenama dan menswastakan skuad utama kepada JDT, Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ) berjaya meletakkan kelab itu muncul antara pasukan terbaik di benua ini.

Jelas Tunku Ismail, semua ramuan kejayaan itu hasil ‘air tangannya’ bermula daripada kemudahan fasiliti, pemilihan pemain serta jurulatih, hinggalah kepada penyusunan taktikal perlawanan sebenarnya menerusi arahannya.

Bermula dari awal falsafah berdasarkan daripada karakter sendiri dan apa yang saya minta daripada setiap orang yang bekerja di kelab.

Kawalan kualiti bermula dari infrastruktur sehingga gaya bola sepak yang saya ingin dimainkan dalam pasukan.

“Falsafah kelab ialah penguasaan, tidak berputus asa, determine, disiplin, inovatif, kemajuan,” katanya di laman sosial miliknya.

Menurut Tunku Ismail lagi, di JDT hanya seorang yang ‘berkuasa’ dan satu bos sahaja iaitu dirinya.

Saya membuat semua keputusan dan saya bertanggungjawab sepenuhnya atas apa yang berlaku di dalam kelab.

Contoh, saya berhubung dengan jurulatih dan pihak pengurusan setiap hari. Jurulatih akan kongsi saya strategi dan pemilihan pemain.

Saya pula akan ‘demand’ macam mana saya nak pasukan main dan pemain mana saya rasa sesuai. Jurulatih akan buat persiapan dalam latihan mengikut permintaan saya atau apa saya inginkan.

“Alhamdullilah di JDT kita boleh lihat hasilnya. Dan pihak pengurusan/jurulatih dapat arahan daripada saya jikalau apa-apa berlaku, baik atau buruk saya bertanggungjawab,” katanya.

Ujarnya lagi, rahsia di sebalik semua kejayaan itu berkaitan pengurusan individu yang betul, dengan keutamaan menyediakan suasana bilik persalinan yang harmoni.

sumber:- HM

” ‘Man management’ ini adalah benda paling mustahak dalam kelab bola sepak. ‘Dressing room energy’, buatlah apa pun, jikalau 30 pemain kalau pemain tak nak berlari atau bersungguh-sungguh kita tidak akan dapat result.”