Striker Terengganu FC (TFC), Kpah Sherman memberikan keceriaan buat skuad Penyu apabila jaringan tunggalnya membantu menumpaskan Sarawak United FC 1-0 pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, malam ini.
Dalam perlawanan yang disaksikan 9,630 peminat itu, pengendali TFC, Nafuzi Zain melakukan perubahan dengan menyenaraikan penjaga gol, Suhaimi Husin, pemain tengah, Azalinullah Mohamed Alias dan Hakimi Abdullah serta pertahanan Arif Fadzilah Abu Bakar dan Azarul Nazarith Azhar dalam kesebelasan utama pasukan.
Percaturan jurulatih muda itu yang menerapkan corak permainan menyerang bermula awal permainan hampir menemui sentuhan jaringan menerusi Manuel Ott pada minit ke-11, namun sepakannya tersasar.
Sedar kemenangan begitu diperlukan pasukan untuk memperbaiki kedudukan dalam carta liga selepas rekod tanpa tewas di gelanggang sendiri lebur di tangan Johor Darul Ta’zim (JDT) 1-2 Rabu lalu, barisan pemain TFC terus melancarkan serangan untuk memburu gol ketika pelawat dilihat banyak bertahan.
Ketika tuan rumah kerap mengasak kubu pelawat, hasil sepakan sudut, Gonzalo Soto hampir memecah kebuntuan gol pada minit ke-30, namun tandukannya hanya sedikit tersasar di penjuru kiri pintu gol.
Bersambung babak kedua, TFC memasukkan pemain sayap lincahnya, Mohd Faisal Halim dan mengeluarkan Hakimi Abdullah, namun masih buntu memecah kebuntuan gol walaupun mendapat peluang terbaik pada minit ke-58 menerusi rembatan Ott yang ditepis penjaga gol.
sumber:- HM
Usaha berterusan skuad Penyu akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-71 menerusi Sherman, gol itu berpunca daripada larian solo Mohd Faisal di sebelah kanan pintu gol pelawat yang kemudian menghantar bola ke tengah sebelum disambar pemain kelahiran Liberia itu untuk pasukannya menang 1-0.