sukan

Sri Pahang kekalkan mom3ntum

Kelebihan aksi di gelanggang sendiri gagal digunakan Melaka United (MU) selepas sekadar seri 2-2 ketika berdepan Sri Pahang pada aksi Liga Super di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput sebentar tadi.

Walaupun mendahului pelawat 1-0 pada babak pertama menerusi jaringan Ifedayo Olusegun dan sentuhan Adriano Narcizo pada awal babak kedua, dua jaringan Pahang pada penghujung babak membolehkan kedua-dua pasukan berkongsi satu mata.

Bagaimanapun aksi keseluruhan saingan 45 minit pertama agak seimbang buat kedua-dua pasukan dengan serang balas pantas untuk berusaha membuka jaringan pendahuluan.

Apapun persembahan menarik itu bagaimanapun dipisahkan dengan jaringan Ifedayo pada minit ke-38 yang menolak masuk hantaran lintang Syazwan Andik.

Malah Ifedayo turut memiliki ruang membuka jaringan awal pada minit keenam namun rembatannya di selamatkan penjaga gol Mamadou Samassa.

Pahang yang menang pada tiga aksi terakhir mereka turut melakukan percubaan bahaya dalam usaha menyamakan kedudukan namun rembatan Manuel Hidalgo pada minit ke-15 berjaya diselamatkan penjaga gawang Melaka Tian Keat See.

Babak kedua pula memperlihatkan kesungguhan tuan rumah untuk menggandakan asakan ke kubu lawan bagi memperkukuhkan cengkaman dan memastikan kelebihan buat mereka.

Hasilnya skuad Hijau Putih berjaya menambah jaringan kedua mereka pada minit ke-51 menerusi Adriano sekali gus menyemarakkan semangat pemain tuan rumah untuk terus mengumpul tiga mata berharga.

Bagaimanapun tidak mengenal erti kekalahan meletakkan anak buah jurulatih Datuk Dollah Salleh terus melakukan asakan walaupun ketinggalan 0-2 untuk bangkit menyamakan kedudukan.

Gol pertama Pahang dijaringkan menerusi David Rowley tiga minit sebelum tamat perlawanan selepas menerima umpanan pemain gentian Muhammad Shahrul Mohd Nadzir Nizam untuk membuka semangat kebangkitan mereka.

sumber:- BH

Jaringan terbabit menjadi pemangkin kepada usaha mereka menyamakan kedudukan pada minit ke-90 dengan kali ini giliran Shahrul Nizam bagi menghadiahkan satu mata buat Sri Pahang.