sukan

Pengendali baharu skuad bawah 23 tahun Negara Untuk musim ini

Siapa bakal mengisi kekosongan jawatan sebagai pengendali skuad bawah 23 (B-23) tahun negara masih menjadi tanda tanya malah terdapat desas-desus mengatakan kemungkinan tempat terbabit akan diisi pengendali asing terutama dari Korea Selatan.

Namun, hakikatnya menerusi maklumat yang diperoleh Arena Metro, jawatan sebelum ini dipegang Brad Maloney kemungkinan besar akan diisi oleh pengendali tempatan.

Menurut sumber, jawatan berkenaan yang menjadi teka-teki penyokong bola sepak tempatan akan dipilih dalam kalangan individu yang rapat atau mengetahui corak permainan dibawa pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon.

Apa yang boleh saya katakan sekarang ini nama pengendali terbabit sudah ada cuma tunggu masa sesuai untuk Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) membuat pengumuman.

“Ramai beranggapan jurulatih asing akan mengisi jawatan itu namun sebenarnya individu tempatan dipilih oleh badan induk bola sepak negara. “Siapa individu berkenaan?… kita boleh lihat sekarang ini yang mengetahui corak permainan Pan-gon adalah pembantunya E Elavarasan. Jadinya, hampir pasti beliau akan mengisi jawatan itu,” katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan teka teki mengenai pengendali baharu skuad B-23 negara akan diketahui selewat-lewatnya pada penghujung bulan ini.

Jaminan itu diberikan oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin yang mengesahkan penilaian mengenai barisan kejurulatihan baharu sudah hampir 80 peratus lengkap.

Kata Hamidin, harapan besar telah diberikan kepada jurulatih terbabit untuk menjalani kerjasama rapat dengan skuad utama Harimau Malaya bagi memastikan kesinambungan serta kejayaan kedua-dua pasukan dapat berjalan seiring.

sumber:- HM

Untuk rekod, Maloney melepaskan jawatannya selaku pengendali skuad B-23 negara pada bulan lalu selepas aksi hambar dalam tiga kejohanan awal tahun ini iaitu Kejuaraan AFF, Sukan Sea dan Piala Asia B-23.