sukan

Harapan tidak kesampaian buat KDA FC Dan Sabah FC

Kedah Darul Aman FC (KDA FC) terpaksa berpuas hati dengan pungutan satu mata apabila sekadar seri 1-1 pada aksi Liga Super men3ntang Sabah FC di Stadium Darul Aman sebentar tadi.

Keputusan itu meletakkan Kedah naik dua anak tangga dari kedudukan kelapan sebelum ini ke kedudukan keenam dalam carta Liga Super.

Kedah memulakan langkah kanan apabila membuka tirai jaringan yang dihasilkan melalui tandukan striker import Ronald Ngah seawal minit ke-6.

Gerakan bermula daripada pemain sayap Al-Hafiz Harun yang mengumpan bola kepada Mahmoud Al-Mardi yang disusuli dengan tandukan ke arah Ronald Ngah yang menewaskan penjaga gol Khairul Fahmi Che Mat.

Sabah cuba bangkit dengan meningkatkan serangan ke kubu Kedah melalui percubaan Gary Steven Robat pada minit ke-21 namun melepasi palang gol.

Pemain Sabah Taiki Kagayama hampir mendapat peluang terbaik buat Sabah menyamakan kedudukan lima minit kemudian, namun tolakannya berjaya ditepis Ifwat Akmal.

Mahmoud Al-Mardi memperolehi peluang keemasan pada minit ke-34 dengan percubaan dalam kotak penalti selepas mendapat hantaran silang kapten Kedah Syazwan Zainon, namun percubaannya pula tersasar ke bahagian kiri gawang Sabah.

Bermula babak kedua Sabah terus menekan tuan rumah untuk memburu gol melalui kapten pasukan Baddrol Bakhtiar pada minit ke-64 tetapi percubaannya berjaya ditepis Ifwat.

Memasuki minit ke-83 Sabah akhirnya berjaya menyamakan kedudukan hasil jaringan Farhan Roslan yang mendapat hantaran daripada Saddil Ramdani.

sumber:- HM

Kedudukan 1-1 itu kekal hingga tamat perlawanan.