sukan

Percayalah semua boleh demi Nama Malaysia

Pemain perseorangan lelaki profesional, Lee Zii Jia tidak seharusnya bersendirian memikul beban untuk menghadiahkan kejuaraan dunia pertama buat Malaysia pada Kejohanan Badminton Dunia yang akan berlangsung di Tokyo, Jepun bermula Isnin ini.

Bekas pemain kebangsaan, Datuk Rashid Sidek berkata, walaupun pemain nombor lima dunia berkenaan dianggap memiliki peluang tinggi namun wakil negara yang lain juga perlu diletakkan sandaran dan diberikan harapan untuk menamatkan penantian Malaysia bagi meraih gelaran dunia.

Katanya, beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan beregu wanita, Pearly Tan-M Thinaah juga dilihat berpotensi untuk mencipta kejutan di Tokyo.

Apa saja boleh berlaku dalam kejohanan besar seperti ini, wakil kita dalam beregu campuran juga tidak mustahil boleh buat kejutan. Selagi mereka menampilkan semangat juang tinggi, peluang (muncul juara) tetap ada untuk mereka.

Tidak kisahlah mereka pemain profesional atau BAM (Persatuan Badminton Malaysia), mereka semua bawa nama Malaysia. Saya percaya muncul juara dunia adalah impian semua pemain, cuma mungkin mereka tidak berani untuk luahkan kerana bimbang berdepan dengan tekanan.

“Nasihat saya, pemain tidak perlu bimbang dengan sebarang keputusan, selagi mereka mempamerkan prestasi terbaik dan menunjukkan semangat juang tinggi dalam perlawanan yang mereka harungi, saya percaya kita semua boleh terima” kata Rashid kepada BH Sukan.

Sebagai rekod, sejak kejohanan diperkenalkan pada 1977, pemain negara tidak pernah berjaya menjadi juara dunia dengan Datuk Lee Chong Wei dilabel pemain yang melakar pencapaian terbaik apabila tiga kali meraih pingat perak dalam acara perseorangan lelaki pada edisi 2011, 2013 dan 2017 selain gangsa pada 2005.

Bagi acara beregu lelaki, kali terakhir Malaysia meraih pingat adalah menerusi gandingan Teo Ee Yi-Ong Yew Sin yang membawa pulang gangsa tahun lalu.

Hanya dua acara yang menyaksikan Malaysia tidak pernah memenangi pingat Kejohanan Dunia iaitu perseorangan wanita dan beregu wanita.

Pada edisi kali ini, Zii Jia akan membuka tirai kempen di Tokyo menentang pemain Perancis, Brice Leverdez manakala Aaron-Wooi Yik yang mendapat bye di pusingan pertama diramal bertemu pasangan Taiwan, Lu Ching Yao-Yang Po Han di pusingan kedua sebelum dijangka bertemu rakan senegara, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei jika masing-masing layak ke pusingan ketiga.

sumber:- BH

Pearly-Thinaah yang turut mendapat bye di pusingan pertama akan membuka tirai saingan men3ntang pemenang perlawanan antara rakan senegara, Valeree Siow-Low Yeen Yuan atau Treesa Jolly-Gayatri Gopichand dari India di pusingan kedua.