sukan

Luahan Hati Aidil buat KDA FC

Aksi tidak konsisten yang dipamerkan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) pada babak kedua menjadi punca skuad Sang Kenari kempunan meraih tiga mata pada aksi Liga Super menentang Sabah FC di Stadium Darul Aman malam tadi.

Ketua Jurulatih KDA, Aidil Sharin Sahak yang kecewa sebaik tamat perlawanan yang berkesudahan 1-1 itu berkata, skuadnya hadir dengan harapan yang tinggi untuk bangkit mendapatkan tiga mata di laman sendiri.

Perlawanan yang tidak sepatutnya berkesudahan seri kerana kami sudah di hadapan dengan satu gol dan berpeluang untuk mengutip tiga mata di laman sendiri, namun ia tidak menjadi kenyataan dan akhirnya kami dihukum atas kesilapan yang dilakukan.

Pada aksi separuh masa pertama kami bermain dengan kawalan bola yang baik, cuma di separuh babak kedua kami agak tidak konsisten dan dibolosi pada hujung babak kedua dan inilah masalahnya.

“Kami hilang konsentrasi bertahan di mana dua pemain tidak berkomunikasi dengan baik semasa bertahan dan bola dengan mudah sampai ke arah pemain Sabah yang membolehkan mereka menyempurnakan peluang menghasilkan gol penyamaan,” katanya.

Aidil bagaimanapun tetap bersyukur kerana walaupun hajat untuk mendapatkan tiga mata tidak kesampaian, namun penampilan yang dibuat pemain pada perlawanan ini melihatkan beberapa peningkatan dalam usaha meneruskan momentum yang disasarkan pada perlawanan seterusnya.

Terdapat beberapa peluang dengan dua atau tiga percubaan yang terhidang untuk mencipta gol, namun inilah bola sepak kerana jika kita tidak memanfaatkan peluang yang ada, maka pihak lawan akan menggunakan kesempatan yang ada untuk membuat jaringan.

“Dari segi prestasi pemain, mereka telah cuba memberi aksi terbaik dan mencari gol tambahan, cuma nasib tidak menyebelahi pihak kami untuk menambah gol,” katanya.

Aidil dalam masa yang sama memuji penampilan semula pemain import, Marc Vales Gonzalez yang beraksi dengan baik di benteng selepas tidak diturunkan hampir empat bulan akibat kecederaan kaki.

Dia (Gonzalez) banyak membantu pertahanan bersama-sama pemain tempatan dalam mengukuhkan benteng, dan dengan kehadirannya, tekanan ke atas s3rangan pihak lawan dapat diredakan dan pemain tempatan juga dilihat meningkatkan tahap keyakinan mereka.

“Walaupun satu kesilapan yang dilakukannya tetapi secara keseluruhan beliau beraksi baik bersama tiga lagi pemain pertahanan yang lain,” katanya.

sumber:- BH

Pada perlawanan itu, KDA mendahului menerusi seawal minit keenam menerusi tandukan penyerang import Ronald Ngah sebelum penyerang gantian Sabah, Farhan Roslan memastikan pelawat tidak pulang tangan kosong apabila menjaringkan gol penyamaan tujuh minit sebelum tamat.