Beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik diyakini sudah bersedia untuk memulakan cabaran mereka pada penampilan keempat di Kejohanan Badminton Dunia di Tokyo, Jepun bermula Isnin ini.
Pasangan ranking nombor enam dunia itu hadir di Tokyo kali ini dengan misi untuk menghapuskan badi tewas di separuh akhir.
Aaron-Wooi Yik yang juga pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020 seakan terkena ‘sumpahan separuh akhir’ apabila mengalami enam kekalahan dalam aksi kelompok empat terbaik tahun ini termasuklah ketika saingan individu di Sukan Komanwel Birmingham 2022.
Malah, dua penampilan terakhir sebelum ini di Kejohanan Dunia juga tidak memihak kepada mereka yang menyaksikan gandingan itu tewas di pusingan kedua pada edisi 2019 dan terkandas di pusingan ketiga tahun lalu.
Pada penampilan sulung mereka pada 2018 menyaksikan Aaron-Wooi Yik ‘mengumumkan’ kehadiran mereka di pentas antarabangsa menerusi kejayaan mara sehingga ke suku akhir.
Aksi di Tokyo kali ini juga dianggap satu lagi peluang buat pasangan berkenaan untuk mengakhiri penantian bagi merangkul gelaran pertama dalam kejohanan individu sejak mula digandingkan pada 2017.
Pengarah Kejurulatihan Beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky, berkata dia percaya Aaron-Wooi Yik sudah bersedia untuk beraksi di Tokyo dan berharap gandingan itu mampu menampilkan aksi terbaik mereka.
Mereka menunjukkan sikap yang positif ketika sesi latihan selepas pulang daripada Sukan Komanwel. Sudah tentu, ini akan menjadi motivasi terbaik buat mereka untuk beraksi dengan baik dalam setiap perlawanan yang akan diharungi nanti.
“Bukan saja Aaron-Wooi Yik, saya juga berharap beregu negara yang lain juga dapat bermain dengan baik dapat mempamerkan prestasi terbaik mereka,” kata Rexy.
sumber:- BH
Di Tokyo, Aaron-Wooi Yik yang mendapat bye di pusingan pertama diramal bertemu pasangan Taiwan, Lu Ching Yao-Yang Po Han di pusingan kedua sebelum dijangka bertemu rakan senegara, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei jika masing-masing layak ke pusingan ketiga.