sukan

Komen Bernas Tze Yong selepas lakar sejarah di Kejohanan Dunia

Pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong membuktikan penampilan sulungnya dalam Kejohanan Badminton Dunia bukan sekadar pelengkap kuota selepas berjaya mengesahkan kemaraan ke pusingan kedua di Jepun, hari ini.

Pemain ranking ke-42 dunia itu yang layak pada saat akhir susulan penarikan diri pemain negara lain memulakan langkah dengan bergaya apabila menyingkirkan juara Masters Malaysia dari Indonesia, Chico Aura Dwi Wardoyo 21-16, 21-10 dalam aksi pusingan pertama yang berlangsung di Gimnasium Metropolitan Tokyo.

Sebagai rekod, ia adalah kemenangan kedua berturut-turut Tze Yong ke atas Chico selepas turut mengatasi lawan berkenaan ketika Cabaran Antarabangsa Indonesia pada 2019.

Tze Yong, 22, mengakui bertuah apabila dapat membuat penampilan sulung di Kejohanan Dunia kali ini sekali gus merealiasasikan impiannya.

“Jadi, saya mahu memanfaatkan sepenuhnya peluang yang dimiliki dengan memberikan persembahan terbaik dalam setiap perlawanan,” kata Tze Yong yang menyarung jersi baharu daripada penaja Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Yonex berwarna kuning dan hitam, melambangkan watak Harimau Malaya.

Menanti Tze Yong di pusingan kedua adalah pemain Thailand, Sitthikom Thammasin yang mara selepas mengetepikan cabaran pemain Jepun yang juga pilihan ke-13 kejohanan, Kanta Tsuneyama 13-21, 21-16, 21-13 dalam satu lagi aksi pusingan pertama.

Burvan tiket ke pusingan ketiga membabitkan Tze Yong dan Thammasin dijangka menjanjikan persaingan yang sengit dengan ia akan menjadi pertemuan pertama buat kedua-dua pemain berkenaan.

Tze Yong hadir di Tokyo dengan motivasi tinggi susulan kejayaannya mencipta kejutan memenangi pingat perak saingan individu di Sukan Komanwel Birmingham 2022 selain membantu skuad negara meraih emas dalam acara berpasukan campuran.

Bagaimanapun, pemain kelahiran Johor itu enggan terus dibuai mimpi indah susulan kejayaan diraih di Birmingham sebaliknya menegaskan Kejohanan Dunia menjadi permulaan dan cabaran baharu buat dirinya dalam usaha menghasilkan satu lagi keputusan positif.

Saya cuba untuk tidak memberikan tekanan kepada diri sendiri dan cuba untuk lupakan mengenai pencapaian di Sukan Komanwel.

“Apa yang saya mahu lakukan adalah fokus dalam setiap perlawanan dan berikan persembahan terbaik,” katanya yang ditemani Pengarah Kejurulatihan Perseorangan BAM, Wong Choong Hann dan jurulatihnya, Hendrawan di Tokyo.

Sementara itu, cabaran pemain perseorangan lelaki profesional negara, Liew Daren berakhir di pusingan pertama selepas tewas di tangan pemain nombor satu dunia dari Denmark, Viktor Axelsen.

sumber:- HM

Daren yang menjadi rakan sepelatih kepada Lee Zii Jia terpaksa akur apabila tewas 16-21, 12-21 kepada Axelsen yang juga pemenang pingat emas Sukan Olimpik Tokyo 2020.