Semasa sukan

Tze Yong cemerlang sIngkirkan juara Masters Malaysia

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong memulakan cabaran di Kejohanan Badminton Dunia dengan langkah kanan apabila mengesahkan kemaraan ke pusingan kedua, sebentar tadi.

Pada aksi yang berlangsung di Gimnasium Metropolitan Tokyo, Jepun itu, Tze Yong cemerlang apabila menyingkirkan juara Masters Malaysia dari Indonesia, Chico Aura Dwi Widoyo 21-16, 21-10 dalam aksi pusingan pertama.

Sebagai rekod, ia adalah kemenangan kedua berturut-turut Tze Yong, yang berada di kedudukan ranking ke-42 dunia, ke atas Chico selepas turut mengatasi lawan berkenaan ketika Cabaran Antarabangsa Indonesia pada tahun 2019.

Tze Yong akan berdepan pemenang perlawanan antara pemain Jepun, Kanta Tsuneyama dan Sitthikom Thammasin dari Thailand bagi perebutan tempat ke pusingan ketiga.

Pemain berusia 22 tahun itu hadir di Tokyo dengan motivasi tinggi susulan kejayaannya mencipta kejutan memenangi pingat perak saingan individu di Sukan Komanwel Birmingham 2022, selain membantu skuad negara meraih emas dalam acara berpasukan campuran.

Di Birmingham, pemain kelahiran Johor itu dua kali berjaya mengatasi bekas pemain nombor satu dunia dari India, K Srikanth ketika final berpasukan campuran dan separuh akhir saingan individu.

sumber: bh

Sebelum itu, dia turut mengatasi juara dunia dari Singapura, Loh Kean Yew di suku akhir saingan individu.Dalam aksi final individu, Tze Yong terlepas emas selepas tewas di tangan naib juara Seluruh England dari India, Lakshya Sen.