sukan

Komen Tze Yong selepas disingkirkan pemain Thailand

Meskipun hampir mara ke pusingan ketiga Kejohanan Badminton Dunia, pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong mengakui tidak berasa kecewa.

Jelas pemain yang menduduki ranking ke-42 dunia itu, dia sudah memberikan segala-galanya sebelum terpaksa akur tewas kepada pemain Thailand yang lebih berpengalaman, Sitthikom Thammasin 16-21, 21-10, 19-21 pada pusingan kedua, hari ini.

Dia (Thammasin) adalah pemain yang berpengalaman dan mengawal permainan dengan baik berbanding saya dalam perlawanan tadi. Saya fikir selepas ini saya perlu tingkatkan tahap kecergasan dan kekuatan saya.

“Saya fikir tiada apa yang saya perlu kesalkan (dengan kekalahan di tangan Thammasin) kerana saya percaya sudah berikan persembahan terbaik. Selepas ini saya akan fokus terhadap persiapan bagi menghadapi kejohanan seterusnya,” kata pemenang pingat perak Sukan Komanwel Birmingham 2022 itu.

Pada perlawanan yang berlangsung di Gimnasium Metropolitan Tokyo, Jepun itu, Tze Yong yang tewas 9-21 di set pertama bangkit menyamakan kedudukan di set kedua untuk mengheret permainan ke set penentuan.

Aksi set ketiga berlangsung dengan penuh mendebarkan apabila menyaksikan Tze Yong yang beberapa kali ketinggalan berjaya menyamakan kedudukan sehingga 19-19 sebelum terpaksa akur dengan kekalahan 19-21 di tangan Thammasin yang menghuni ranking ke-33 dunia.

Sementara itu, pemain perseorangan profesional negara, Soniia Cheah yang sudah lama tidak beraksi tampil meyakinkan apabila menewaskan wakil Indonesia, Putri Kusumawardani 21-19 21-18 di pusingan pertama dalam tempoh 41 minit.

Beregu wanita negara, Anna Cheong-Teoh Mei Xing juga mempamerkan aksi meyakinkan apabila menewaskan wakil Jerman, Stine Kuespert-Emma Moszczynski 13-21, 15-21 dalam tempoh 39 minit.

Nasib tidak memihak dua lagi wakil negara iaitu perseorangan wanita, S Kisona dan beregu wanita, Low Yeen Yuan-Valeree Siow apabila tersingkir seawal pusingan pertama.

sumber:- HM

Kisona tewas di tangan pemain Vietnam, Thi Trang (B) Vu 10-21, 17-21 manakala Yeen Yuan-Valeree tunduk kepada pasangan India, Treesa Jolly-Gayatri Gopichand 11-21, 13-21.