Beregu lelaki nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik meneruskan misi memburu gelaran sulung di pentas antarabangsa selepas melayakkan diri ke separuh akhir Kejohanan Badminton Dunia di Tokyo, Jepun.
Mereka yang diletakkan sebagai pilihan keenam menewaskan pilihan ke-10 dari Korea Selatan, Choi Sol Gyu-Seo Seung Jae di suku akhir, hari ini.
Menurut Aaron, dia berharap mereka mampu untuk menamatkan badi terkandas di separuh akhir apabila berdepan beregu nombor tujuh dunia dari India, Chirag Shetty-Satwiksairaj Rankireddy, esok.
Sehingga ke perlawanan hari ini, saya fikir kami menunjukkan peningkatan dalam setiap pusingan. Bagaimanapun, masih ada beberapa perkara yang perlu diperbaiki, terutama segi konsistensi dalam gelanggang.
“Saya harap kali ini kami dapat melepasi halangan (separuh akhir) apabila kami selalu tersekat dalam kejohanan terdahulu. Apa yang penting, kami perlu fokus pada diri sendiri dan berikan aksi terbaik esok (hari ini),” katanya sejurus tamat perlawanan.
Pada aksi suku akhir yang berlangsung di Gimnasium Metropolitan Tokyo hair ini, mereka berdepan t3ntangan sengit Sol Gyu-Seung Jae sebelum menang 21-18, 21-16 dalam tempoh 40 minit.
Mereka yang juga pasangan nombor enam dunia sudah mara ke separuh akhir sebanyak tujuh kali tahun ini, namun pencapaian terbaik hanya muncul naib juara di Kejohanan Badminton Asia.
Sementara itu, Wooi Yik mengakui, permainan mereka serba menjadi ketika bertemu gandingan Korea Selatan itu kerana turun dalam keadaan tenang selain fokus sepenuhnya terhadap setiap pukulan yang dilakukan.
Pada masa sama, kemampuan menyesuaikan diri dengan keadaan gelanggang banyak membantu mereka untuk mengawal permainan, sekali gus memberi tekanan kepada lawan.
Kunci kejayaan hari ini adalah kami bermain dengan tenang dan fokus pada permainan sendiri selain melakukan pukulan berkualiti. Saya percaya keadaan itu meletakkan mereka dalam keadaan tertekan.
“Selain itu, kami sudah selesa bermain di gelanggang satu kerana pernah beraksi di situ pada perlawanan pertama. Apa yang penting esok, kami perlu fokus pada strategi dan corak permainan bagi mengekalkan momentum,” ujarnya.
sumber:- HM
Chirag Shetty-Satwiksairaj menjadi beregu lelaki pertama India melayakkan diri ke separuh akhir kejohanan itu selepas menyingkirkan wakil tuan rumah, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi menerusi kemenangan 24-22, 15-21, 21-14.