sukan

Peneraju baharu Kini Sah dilantik

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengumumkan pelantikan Noor Azman Rahman sebagai Setiausaha Agungnya yang baharu berkuat kuasa 1 September ini bagi mengisi kekosongan ditinggalkan Mohd Saifuddin Abu Bakar.

Pada 23 Ogos lalu, Jawatankuasa Eksekutif FAM pada mesyuarat khas kali kedua bagi penggal 2021-2025 menerima peletakan jawatan Saifuddin kerana beliau mahu menumpukan kerjayanya ke peringkat antarabangsa.

Azman, 55, ketika ini bertugas sebagai Koordinator Presiden FAM sejak tahun 2018 apabila Datuk Hamidin Mohd Amin dipilih sebagai Presiden FAM.

Terdahulu Azman pernah dipilih sebagai Naib Presiden Persatuan Bolasepak Melaka (MUSA) pada 2012 sebelum beliau dilantik sebagai Setiausaha Agung MUSA selama tiga tahun dari 2015-2018.

Pada pemilihan MUSA bagi penggal 2020-2023, Azman sekali lagi terpilih sebagai salah seorang Naib Presiden MUSA.

Selain pengalaman luas bersama MUSA dan tugasannya selaku Koordinator Presiden FAM, beliau juga pernah terbabit dengan beberapa jawatankuasa tetap FAM, antaranya sebagai Ahli Jawatankuasa Media FAM (2010-2013), Ahli Jawatankuasa Futsal dan Bola Sepak Pantai FAM (2014-2018) serta Ahli Jawatankuasa Pertandingan FAM (2018-2019).

sumber:- HM

Dalam pengurusan pasukan pula, Azman pernah menjadi pengurus pasukan Liga FAM Melaka pada 2013, penolong pengurus pasukan Liga FAM Melaka pada 2014 serta penolong pengurus pasukan futsal kebangsaan dari 2014-2017.