sukan

Ketua Jurulatih Baharu mahu tamatkan penantian Olimpik

Misi menamatkan badi selama 43 tahun untuk melihat skuad Harimau Malaya kembali bersaing di pentas Olimpik bukannya mudah, namun ia bukan sebab untuk skuad Bawah 23 (B-23) tahun negara mengibarkan ‘bendera putih’ sebelum turun berperang.

Jelas pengendali baharu skuad B-23, E Elavarasan, beliau sedar ranjau berliku yang bakal menanti skuad kendaliannya dalam pusingan Kelayakan Olimpik Paris 2024 pada tahun depan itu.

Bagaimanapun, penolong jurulatih skuad senior negara itu tetap akan cuba melakukan yang terbaik bagi melayakkan pasukan ke temasya berprestij itu.

Saya rasa sudah lama pasukan bola sepak kita tidak layak ke temasya olimpik sejak melakukannya 42 tahun lalu.

Bagaimanapun berdasarkan ranking kita yang kini berada di tangga ke-26 dalam kalangan negara Asia yang lain ia bukanlah tugas mudah kerana hanya tiga slot sahaja yang diberikan.

 

“Apa-apapun saya akan cuba melakukan yang terbaik bagi melayakkan pasukan ini ke olimpik selain akan cuba membawa pasukan ini ke satu tahap yang lain,” katanya pada sidang media pengumuman barisan kejurulatihan B-23 di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), di sini, hari ini.

Dalam majlis itu, Elavarasan, 60, secara rasmi dilantik bagi mengemudi skuad B-23 bagi menggantikan Brad Maloney yang melepaskan jawatannya pada Julai lalu selepas gagal di Piala Asia B-23 di Uzbekistan, apabila terkandas di peringkat kumpulan.

Pelantikan Elavarasan dilihat tepat memandangkan beliau pastinya cukup ‘masak’ dan memahami corak permainan jurulatih senior Kim Pan-gon, sekaligus menyeragamkan gaya permainan pasukan utama dan B-23.

Begitupun, tugas bekas pengendali PKNS FC itu pastinya mencabar di mana berdasarkan pelan hala tuju FAM atau lebih dikenali dengan F:30 meletakkan kelayakan Sukan Olimpik 2024 sebagai salah satu sasaran badan induk itu.

Mengulas lanjut tentang pelantikannya, Elavarasan menganggap ia satu penghormatan untuk memikul tanggungjawab itu yang cukup besar di mana beliau turut dikekalkan sebagai penolong Pan-gon.

Sudah tentu ia akan menjadi tugas yang berbeza buat saya memandangkan tanggungjawab sebagai ketua jurulatih B-23 bukanlah mudah seperti yang disangka.

“Saya bukan sahaja perlu mengemudi skuad ini, malah saya juga dipertanggungjawabkan untuk mencari bakat-bakat baharu untuk diserapkan ke pasukan senior. Apapun saya cuba memberikan yang terbaik buat pasukan ini,” katanya.

 

sumber:- HM

Selain Elavarasan, turt diumumkan bekas ketua pencari bakat Barcelona, Juan Torres Garrido dari Sepanyol sebagai penolong jurulatih, diikuti Park Jihyeon selaku jurulatih kecergasan dan Lee Jeyoon sebagai jurulatih analisis dengan kedua-duanya dari Korea Selatan, serta bekas jurulatih penjaga gol kebangsaan, Kris Yong untuk melengkapkan senarai itu.