Sabah hanya memiliki satu jalan iaitu wajib menewaskan Kuala Lumpur (KL City) di Stadium Likas, malam ini, jika mahu terus mengejar pendahulu Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT).
Sabah yang sudah beraksi 16 perlawanan berbanding JDT masih kekurangan satu aksi ketinggalan enam mata dengan mereka menjadi pasukan paling relevan untuk meneruskan perebutan kejuaraan liga musim ini bersama Harimau Selatan.
Seandainya Sabah tercicir mata, ia akan memberi ruang lebih selesa buat JDT dan mungkin juga anak buah Hector Bidoglio boleh mengesahkan kejuaraan kesembilan berturut-turut lebih awal.
Selain itu, terdapat beberapa faktor lain mengapa Sabah perlu memastikan kemenangan ke atas KL City termasuk kelebihan beraksi di laman sendiri yang dimiliki anak buah Datuk Ong Kim Swee.
Malah, rekod tanpa kalah Sang Badak dalam lima aksi terakhir Liga Super juga harus dikekalkan dengan kali terakhir mereka kalah dalam saingan itu adalah pada 15 Julai lalu selepas tunduk 2-1 di tangan JDT.
Selain itu, aksi malam ini juga menjadi peluang terbaik untuk Sabah menamatkan kemarau tujuh tahun tidak menang ke atas KL City selepas kali terakhir menewaskan skuad City Boys 1-0 dalam saingan Liga Perdana pada Jun 2015.
Kelebihan rehat selama dua minggu dimiliki Sabah selain mereka hanya fokus kepada saingan Liga Super turut menjadikan mereka tidak mempunyai alasan untuk tidak meraih tiga mata penting dalam pertemuan itu.
Berbeza dengan skuad City Boys yang mengharungi aksi final Piala AFC Zon ASEAN, minggu lalu selain pengendalinya, Bojan Hodak juga perlu lebih berhati-hati mengatur strategi terbaik dalam menggunakan pemainnya.
Ia kerana KL City dilihat perlu memastikan kondisi pemain utamanya pada tahap terbaik apabila akan mengharungi aksi getir berdepan ATK Mohun Bagan di separuh akhir Antara Zon Piala AFC, 7 September ini.
Meskipun KL City tampak berdepan banyak kekangan berbanding Sabah, namun ia tidak bermakna City Boys akan memberi lalu mudah kepada anak buah Kim Swee meraih kemenangan.
sumber:- BH
Hodak pasti merancang sesuatu untuk memastikan juara Piala Malaysia musim lalu itu sekurang-kurangnya tidak pulang dengan tangan kosong.