sukan

Aaron Chia-Soh Wooi Yik impikan gelaran no1 dunia

Selepas muncul juara dunia di Jepun minggu lalu, beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik kini memasang impian untuk bergelar nombor satu dunia suatu hari nanti.

Aaron, 25, berkata kejayaan menjadi wakil pertama Malaysia merangkul gelaran dunia memberi tonik tambahan buat mereka untuk memburu kejuaraan dalam kejohanan seterusnya sekali gus merealisasikan impian menjadi beregu nombor satu dunia.

Ketika ini, Aaron-Wooi Yik yang mula digandingkan pada 2017 berada di kedudukan nombor lima dunia.

Sudah tentu kejayaan ini memberi motivasi kepada kami, beri kami semangat untuk terus berjuang dalam kejohanan seterusnya. Kami berharap suatu hari nanti kami boleh menjadi beregu lelaki nombor satu dunia.

Namun, ia bukan perkara mudah, kami perlu melipat gandakan usaha dan bekerja keras bagi mencapainya,” kata Aaron ketika sidang media sebaik tiba dari Tokyo, Jepun di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, hari ini.

Ketibaan mereka disambut Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu selain Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Jana Santhiran Muniayan, barisan kepimpinan tertinggi Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan peminat badminton negara.

Aaron-Wooi Yik yang memenangi pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020, menamatkan penantian selama 45 tahun apabila menjadi wakil pertama negara muncul juara dunia sejak kejohanan diperkenalkan pada 1977.

Kejayaan itu hadir selepas pasangan itu menundukkan beregu berpengalaman dari Indonesia, Mohamad Ahsan-Hendra Setiawan 21-19, 21-14 dalam aksi final yang berlangsung, Ahad lalu di Tokyo.

Sementara itu, Wooi Yik, 24, mengakui lega apabila mereka akhirnya berjaya menamatkan penantian untuk merekodkan kejuaraan peribadi pertama sebagai gandingan selepas terpaksa memegang status sebagai beregu lelaki nombor satu negara tanpa sebarang gelaran juara sebelum ini.

“Saya ingat lagi selepas pulang daripada Sukan Olimpik (menang gangsa), suasana yang sama menyambut kepulangan kami. Selepas itu harapan tinggi diletakkan kepada kami daripada seluruh rakyat Malaysia.

Kami bergelut banyak kali dan asyik kalah. Sebagai beregu nombor satu negara, kami tidak meraih sebarang gelaran.

“Kami sendiri kecewa dengan situasi itu tetapi kami tidak pernah berputus asa. Mungkin anda tidak nampak tetapi kami benar-benar bekerja keras (untuk mengubah situasi) dan apabila kami dapat menjadi juara dunia, saya perlu berterima kasih kepada Tuhan dan usaha kami selama ini berbaloi,” katanya.

Aaron-Wooi Yik selepas ini akan mengalihkan fokus mereka terhadap persiapan bagi menghadapi Terbuka Denmark yang bermula 18 hingga 23 Oktober dan Terbuka Perancis 25 hingga 30 Oktober ini.

sumber:- BH

Selaku juara dunia, pasangan itu turut meraih tiket automatik untuk beraksi dalam saingan Jelajah Dunia Akhir BWF yang akan berlangsung di Guangzhou, China pada 14 hingga 18 Disember ini.