sukan

Norizam berminat guna khidmat Teong Kim

Adakah kelibat bekas Pengarah Akademi Mokhtar Dahari (AMD), Lim Teong Kim akan kembali mewarnai kancah bola sepak tempatan pada musim depan?

Ini selepas pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman mengesahkan pihaknya tidak menolak kemungkinan untuk mendapatkan Teong Kim bagi mengukuhkan lagi pengurusan pasukan The Red Warriors (TRW).

Bagaimanapun, Norizam yang mesra disapa Zamsaham menegaskan persetujuan itu hanya dapat termeterai jika kedua-dua pihak bersetuju dengan ‘pinangan’ dan ‘hantaran’ yang bakal diberikan.

Ya (berminat dengan khidmat Teong Kim) jika semua terma dan syarat dipersetujui bersama. Ini semua membabitkan hal perniagaan jadi sudah tentu ada harganya.

Saya pun sebenarnya sudah berbual dengan Teong Kim, seorang figura yang luar biasa, begitu juga dengan Datuk K Rajagobal tetapi saya sebenarnya lebih suka untuk menggilap bintang daripada menerima bintang.

Jadi berkemungkinan kalau mereka (Teong Kim atau Rajagobal) jadi pengarah teknikal, pengarah sukan ataupun memainkan peranan utama dalam pengurusan dan penasihat, mungkin saya boleh pertimbangkan.

“Bagi saya, tidak salah untuk mencuba sesuatu perkara yang baharu,” katanya pada sidang media selepas majlis tandatangan pemilikan saham TRW Kelantan FC di sebuah hotel di ibu negara, petang tadi.

sumber:- BH

Pada majlis terbabit, Kelantan FC mengumumkan Pengarah Skyrian Bhd, Nik Hafiz Naim Nik Hassan sebagai pemegang lima peratus saham syarikat membabitkan nilai RM3 juta.