Selangor FC dijangka melakukan perubahan menjelang aksi tumpuan Liga Super apabila turun menentang pendahulu Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Kelana Jaya, malam esok.
Menurut pengurus pasukan, Mahfizul Rusydin, beberapa perubahan taktikal mungkin berlaku bagi mengekang asakan penyerang JDT yang diakui cukup ampuh.
Katanya, jurulatih sementara Nidzam Jamil pastinya sudah mempunyai perancangan tersendiri bagi menghalang lawan.
“Seperti pasukan lain yang bertemu JDT, mesti ada perubahan dalam aspek permainan kerana kita tahu keupayaan JDT bukan biasa-biasa.
“Jadi kita juga akan buat perkara sama dengan perubahan sedang dirangka oleh jurulatih. Tetapi saya tidak tahu lebih mendalam apa dirancang olehnya, namun apa yang pasti kita mahu turun dengan semangat positif dan cuba meraih mata.
“Kalau tak menang seri pun sudah memadai, dan macam saya katakan tadi, JDT bukan lawan mudah namun kita tetap akan beri saingan sebaik mungkin,” katanya ketika dihubungi.
Dijangka skuad Red Giants mungkin menggunakan elemen serangan balas bagi memerangkap benteng lawan yang bakal menyerang dari setiap sudut.
Kaedah ini juga biasanya digunakan kebanyakan pasukan dalam Liga Malaysia apabila turun berdepan Harimau Selatan yang kini dalam landasan terbaik untuk menjuarai trofi liga buat kali kesembilan berturut-turut.
Dalam pada masa sama, Mahfizul berharap agar penyokong Selangor terus menyokong pasukan dengan memenuhi venue itu malam esok.
“Saya harap penyokong Selangor terus bersama kami. Kami akan cuba sebaik mungkin dan harap sesuatu akan diraih nanti,” katanya.
sumber:- HM
Ketika ini, Selangor menghuni tangga kesembilan liga dan perlu menang bagi memperbaiki kedudukan, sekaligus menamatkan badi tanpa kemenangan sejak Julai lalu.