Selepas dibelasah 5-1 dalam pertemuan terakhir mereka, Jun lalu, penyokong Selangor menanti kedatangan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Petaling Jaya malam ini dengan kebimbangan pasukan mereka akan menjadi mangsa belasahan sekali lagi.
Prestasi hambar dalam dua aksi terakhir Liga Super juga tidak banyak membantu Red Giants apabila mereka kalah 0-1 kepada pasukan yang sedang bergelut, Petaling Jaya City (PJ City), 21 Ogos lalu, selain tumpas 0-2 di tangan Terengganu pada 17 Ogos.
Pengurus pasukan, Mahfizul Rusydin Abdul Rashid bagaimanapun menegaskan, tempoh rehat hampir dua minggu menjadi ‘fasa bertenang’ buat pemain dan membantu mereka melakukan persiapan lebih baik untuk menghadapi pendahulu liga, JDT.
“Rehat panjang yang ada dimanfaatkan dengan memperbaiki kelemahan yang ada, persiapan mental dan taktikal juga berjalan dengan baik.
“Kita harap dapat dilaksanakan dengan baik dalam dalam perlawanan malam ini,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.
Beliau berharap pemain tidak terlalu tertekan apabila berdepan JDT dan akan memberikan yang terbaik untuk cuba memenangi perlawanan di depan penyokong sendiri.
“Kita harus segera melupakan belenggu prestasi yang dihadapi sejak dua bulan lepas.
“Saya optimis jika semua pihak memberikan komitmen penuh, kita boleh melakar keputusan positif tetapi dalam masa yang sama, harus diakui berdepan JDT adalah misi sukar kerana mereka kelab yang sempurna.
sumber:-UM
“Tapi, saya percaya pemain kita juga ada kualiti yang tersendiri, cuma masalah konsisten gagal dicapai selain juga perlu elak daripada melakukan kesilapan mudah dan memanfaatkan peluang sebaik mungkin,” katanya.