sukan

Tidak sangka terpilih ke Eropah

“Perkara yang tak dijangka dan mengejutkan saya”.

Demikian perkongsian rasa pemain muda bola sepak negara, Mohammad Haykal Danish Mohd Haizon yang mengakui teruja apabila berjaya menarik perhatian kelab Luxembourg, Racing FC.

Jelas pemain berusia 17 kelahiran Meru, Klang, Selangor itu, dia tidak menjangka dirinya terpilih namun mengakui impian sejak kecil untuk beraksi di Eropah semakin hampir.

Saya betul-betul tak jangka. Memang mengejutkan tetapi ia suatu berita yang menggembirakan saya.

Peng0rbanan daripada kecil akhirnya menjadi kenyataan (bermain di Eropah) dan saya akan cuba beri yang terbaik jika diberi peluang nanti,” katanya ketika dihubungi Arena Metro, hari ini.

Semalam, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ti Lian Ker mendedahkan Haykal dan seorang lagi pemain dari Akademi Mokhtar Dahari (AMD), Rohisham Haikal bakal mengikut jejak Luqman Hakim Shamsudin bermain bola sepak secara profesional di Eropah.

Katanya, jika berjalan mengikut jadual, dua pemain muda itu dijangka berangkat ke negara berkenaan pada Disember depan.

“Memang saya ada jalani sesi percubaan sebelum ini di sana (Racing FC) tapi tak sangka terpilih,” kata Haykal yang lebih mesra di panggil dengan panggilan Manja oleh keluarga dan rakan sepasukannya.

Ujarnya lagi, antara cabaran awal yang bakal ditempuhi nanti adalah soal cuaca.

“Saya lihat cuaca mungkin perkara pertama yang perlu saya cepat sesuaikan diri nanti,” katanya yang pernah menggegar bumi Eropah ketika berusia 13 tahun pada 2018 apabila beraksi untuk skuad B-13 Paris Saint-Germain (PSG), di mana dia meledak satu gol cantik menerusi larian solo untuk membantu menewaskan Cesena FC 3-0 dalam Kejohanan Antarabangsa V Memorial Giuseppe Augello di Rom, Itali ketika itu.

Untuk rekod, Luqman adalah pemain tempatan pertama Malaysia yang meraih kontrak profesional dengan kelab utama Eropah dari Belgium, KV Kortrijk pada 2020 dengan ikatan lima tahun.

Kini, Haykal dan Rohisham bakal menjadi pemain muda kedua dan ketiga negara beraksi dengan kelab yang beraksi di divisyen satu benua Eropah di Luxembourg.

sumber:- HM

Manakala beberapa pemain lain seperti Safawi Rasid pernah dipinjamkan ke Portimonense S.C di Liga Portugal pada hujung 2020, sementara Nazmi Faiz Mansor, Akmal Rizal Ahmad Rakhli, Rudie Ramli, Juzaili Samion dan Fadzli Saari antara bekas pemain negara yang pernah berkelana di liga bawahan sekitar Eropah.