sukan

Kelab JDT bakal cipta lagi satu sejarah

Johor Darul Ta’zim II (JDT II) semakin hampir menjuarai kejuaraan Liga Perdana selepas mudah menewaskan Terengganu FC II (TFC II) 3-0 pada aksi di Stadium Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG), sebentar tadi.

Kemenangan itu membolehkan skuad kendalian Mariano Echeverria berjaya mengumpul 39 mata sekali gus mendahului tiga mata dengan pencabar terdekat Kelantan FC yang gagal meraih kemenangan selepas tewas 1-2 kepada Selangor FC II pada aksi di sebelah petang.

Aksi terakhir JDT men3ntang Selangor FC II pada 30 September ini menjadi penentu tatkala anak didik Echverria hanya memerlukan keputusan seri untuk menjulang kejuaraan liga buat pertama dalam sejarah bola sepak kelab JDT bagi menambah koleksi piala selepas skuad Piala Presiden JDT III muncul juara.

Tuan rumah hanya mengambil tempoh tujuh minit permainan untuk membuka tirai jaringan selepas bola lorongan Adam Farhan Mohd Faizal menyaksikan Daryl Sham KK George bertindak merembat bola dari luar kotak penalti tepat ke penjuru kanan gol menewaskan penjaga gol, Syed Muhammad Nasrulhaq Syed Bidin.

Skuad kendalian Badrul Afzan Razali sepatutnya mampu mencipta gol penyamaan pada minit ke-12 tetapi Wan Mohamad Fazli Wan Ghazali gagal mengawal bola dengan baik apabila menyepak bola liar biarpun hanya berdepan penjaga gol, Izham Tarmizi Roslan.

Pelawat nyata begitu dahagakan gol penyamaan apabila sering mengasak ke kubu JDT II tapi percubaan daripada Safwan Mazlan yang merembat bola kencang sekadar sipi dari gawang gol pada minit ke-39.

Bersambung babak kedua, TFC II terus memberi tekanan dan hampir mencipta jaringan pada minit ke-46 selepas bola sepakan Petrus Shitembi tepat kepada Wan Mohamad Fazli yang menanduk bola tapi Izham Tarmizi berada di posisi terbaik untuk menyelamat bola.

Serang balas pantas JDT II hampir menghasilkan gol kedua pada minit ke-51 selepas Ahmadf Hazwan Bakri bijak melorongkan bola kepada Adam Farhan tapi gagal melakukan penyudah tepat selepas dihalang pemain pertahanan TFC II.

Malang buat Daryl Sham yang kempunan untuk mencetak gol kedua peribadi selepas bola rembatannya pada minit ke-53 hasil umpanan Adam Farhan terkena tiang di sebelah kanan ketika Syed Nasrulhaq sudah tertewas.

JDT II melenyapkan perjuangan TFC II selepas berjaya menghasilkan gol kedua pada minit ke-81 selepas bola lorongan Daryl Sham membolehkan pemain gantian, Muhamad Umar Hakeem Suhar Rezwan menolak bola menewaskan Syed Nasrulhaq.

sumber:- HM

Ketika aksi berbaki enam minit untuk ditamatkan Moussa Sidebe mencetak gol selepas mudah menewaskan Syed Nasrulhaq untuk memastikan kemenangan buat JDT II menewaskan TFC II 3-0 pada perlawanan itu.