sukan

Juara Dunia kongsi ‘tip’ kekal konsisten

Komunikasi dianggap kunci paling penting buat beregu utama lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik untuk mereka kekal konsisten meraih kejayaan di pentas antarabangsa.

Bekas pemain beregu kebangsaan, Koo Kien Keat, berkata cabaran paling besar yang akan dialami pasangan ranking nombor lima dunia itu adalah harapan tinggi yang diletakkan di atas bahu mereka selepas muncul juara dunia, minggu lalu.

Katanya, kedua-dua pemain itu perlu mempunyai tahap kepercayaan tinggi antara satu sama lain bagi mengharungi pelbagai ujian mendatang.

Nasihat saya, mereka tidak perlu terlalu kisah sangat mengenai pandangan orang lain. Paling penting adalah komunikasi antara mereka kerana mereka bekerja sebagai satu pasukan.

Selain itu, mereka tidak perlu dengar komen orang mengenai gandingan mereka. Sebab kalau ada orang komen (yang tidak baik) mengenai pasangan kita, sebagai manusia kita pasti akan terfikir betul ker apa yang diperkatakan itu.

“Jadi, lebih elok mereka terus bertanya kepada gandingan sama ada ia betul atau tidak, jangan disimpan dalam hati. Mereka perlu berterus terang antara satu sama lain,” kata Kien Keat yang muncul naib juara dunia pada edisi 2010 di Perancis bersama Tan Boon Heong.

Aaron-Wooi Yik yang memenangi pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020, menamatkan penantian selama 45 tahun Malaysia apabila menjadi wakil pertama negara muncul juara dunia sejak kejohanan diperkenalkan pada 1977.

Kejayaan itu hadir selepas mereka yang mula digandingkan pada 2017 itu menundukkan beregu berpengalaman dari Indonesia, Mohamad Ahsan-Hendra Setiawan 21-19, 21-14 dalam aksi final di Tokyo, Jepun.

Mengulas lanjut, Kien Keat yang menjuarai Seluruh England 2007 bersama Boon Heong, berkata Aaron-Wooi Yik selepas ini perlu mempelbagaikan lagi corak permainan mereka agar tidak mudah dibaca oleh pihak lawan.

Selepas menjadi juara dunia, sudah pasti mereka akan menjadi perhatian semua orang. Semuanya akan memerhatikan corak permainan mereka.

sumber:- BH

“Apabila kita sudah meraih kejuaraan dan kita tahu orang perhatikan corak permainan kita, tetapi kita tidak berusaha untuk mengubahnya atau meningkatkan lagi tahap permainan kita, ia adalah satu kesilapan daripada kita,” katanya.