sukan

Status penjaga pintu gol JDT jadi tanda tanya

Farizal Marlias atau Haziq Nadzli yang akan diberi tanggungjawab besar sebagai benteng terakhir Johor Darul Ta’zim (JDT) di final Piala FA, Sabtu ini?

Persoalan itu muncul selepas pengendali JDT, Hector Bidoglio menggunakan Haziq ketika aksi Liga Super berdepan Melaka United, 29 Ogos lalu dan Selangor, Sabtu lalu.

Namun, berdepan juara dua kali, Terengganu FC (TFC) pada pentas akhir Piala FA di Stadium Nasional, Bukit Jalil nanti menjadi perlawanan yang sukar buat JDT dan penjaga gol terbaik diperlukan dalam menentukan pasukan untuk mencipta kejayaan.

Farizal yang dilihat memiliki lebih pengalaman menyifatkan Haziq menggalas tugas yang baik meskipun Harimau Selatan mencatat keputusan seri 1-1 ketika menentang Selangor.

Namun, dia tetap menyerahkan keputusan kepada jurulatih untuk menentukan siapakah antara mereka yang akan turun beraksi dalam aksi penting menentang TFC nanti.

Saya tidak boleh nak bagi jawapan siapa (akan turun pada aksi final), terpulang kepada jurulatih untuk menentukannya, kata Farizal.

Setakat ini apa yang ditunjukkan Haziq sangat baik dan saya percaya dia akan menjadi lebih baik pada masa akan datang, saya doakan dia dapat mengekalkan momentum itu.

“Untuk perlawanan hari itu (lawan Selangor), kita tidak boleh pandang ke belakang dan kita belajar apa yang sudah jadi untuk bawa ke perlawanan akan datang.”

sumber:- BH

Untuk rekod, ketika JDT muncul juara Piala FA pada 2016, Izham Tarmizi Roslan diberi tugas sebagai penjaga gol utama dengan Farizal berada di bangku simpanan.