Menjelang final Piala FA menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini, pemain Terengganu FC (TFC) mendapat suntikan semangat luar biasa selepas kerajaan negeri mengumumkan habuan kepada mereka jika berjaya merangkul trofi berprestij itu.
Walaupun belum mengumumkan secara terperinci jumlah ganjaran yang bakal diterima pemain dan barisan kejurulatihan, tapi habuan berkenaan adalah lumayan.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata, ganjaran berupa wang tunai itu adalah suntikan semangat tambahan kepada wira TFC menjelang aksi final itu nanti.
“Saya percaya semangat dan moral pasukan TFC kini berada dalam keadaan terbaik walaupun sedar akan berdepan cabaran getir daripada gergasi Liga Malaysia (Liga M) pada perlawanan akhir Sabtu ini.
“Jika mereka berjaya memperkemaskan kelemahan yang ada, saya yakin dan percaya tiada sebab TFC tidak mampu menumbangkan JDT, lagipun mereka kini berada dalam momentum positif selepas melakar empat kemenangan berturut-turut dalam Liga Super.
“Jadi mengambil kira semangat itu, kerajaan negeri bersetuju untuk memberikan insentif sekiranya TFC menang dan menamatkan penantian kejuaraan selama 11 tahun, tapi jumlahnya kita akan umumkan selepas merangkul trofi itu nanti,” katanya.
sumber:-BH
Beliau yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) berkata demikian ketika ditemui selepas mengiringi dan memberikan kata-kata semangat kepada pemain yang berlepas ke ibu negara dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud di sini hari ini.
Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Datuk Tengku Farouk Hussin Tengku Abdul Jalil dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Pertubuhan Bukan kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah.
Sementara Dr Ahmad Samsuri turut mengingatkan para penyokong TFC yang bakal membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil agar berhati-hati dalam perjalanan serta dapat mengamalkan disiplin dan semangat kesukanan yang tinggi walau apa jua keputusan perlawanan.
“Kalah dan menang itu adalah adat permainan dan saya harap penyokong TFC dapat mengamalkan disiplin yang tinggi dan kekal bertenang sama ada keputusan perlawanan itu memihak kepada TFC atau sebaliknya, tapi kita mahu juara,” katanya.
Kali terakhir Terengganu menjulang trofi Piala FA pada 2011 menundukkan Kelantan 2-1 ketika bawah kendalian jurulatih berpengalaman, Irfan Bakti Abu Salim.