sukan

Peratus kemenangan berpihak kepada JDT

Juara Liga Super lapan kali berturut-turut, Johor Darul Ta’zim (JDT) terus diletakkan sebagai pasukan pilihan untuk muncul juara Piala FA pada final yang akan berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Sabtu ini.

Kualiti pemain dan prestasi konsisten dipamerkan Harimau Selatan menjadi antara faktor utama anak buah Hector Bidoglio menjadi pilihan dan menyaksikan tidak ramai yang berani mencalonkan Terengganu FC (TFC) sebagai juara.

Namun, ada yang mencadangkan supaya TFC mengambil aura atau semangat Kuala Lumpur (KL) City ketika skuad itu melakar kejutan besar ke atas JDT di pentas final Piala Malaysia, musim lalu.

Perkara sama dihadapi KL City ketika itu apabila mereka dilabel sebagai pasukan ‘underdog’ sebelum mencipta sensasi menjuarai Piala Malaysia dan ia boleh dijadikan contoh terbaik buat TFC menjinakkan JDT.

Bekas pemain kebangsaan, Azlan Johar menyifatkan bola sepak terutama pentas final sentiasa ada elemen kejutan dan tidak mustahil jika TFC boleh menewaskan JDT.

Buat masa ini memang saya lihat peluang kemenangan memihak kepada JDT. Sebab kita nampak sekarang dalam liga pun mereka meninggalkan dengan pungutan mata yang sangat jauh.

Tapi saya lihat TFC juga sudah menunjukkan peningkatan yang bagus dan sudah tentu saingan yang sengit akan berlaku pada perlawanan final nanti.

Bukan mudah untuk JDT walaupun kemenangan tampak memihak kepada mereka. Tetapi saya rasa TFC tidak akan beri laluan mudah, tekanan kali ini berbeza.

“Peluang kemenangan saya rasa 65 peratus buat JDT dan 35 peratus untuk TFC. Final memang selalu ada elemen kejutan, dalam bola sepak elemen kejutan inilah yang menjadikan ia menarik.

“Jadi kita tidak boleh terlalu selesa kerana kita semua harus berdepan 90 minit dan dalam tempoh itu semua pemain serta siapa saja yang terbabit dalam perlawanan harus memberi tumpuan 100 peratus,” katanya kepada BH Sukan.

Untuk rekod, TFC pernah menjulang Piala FA dua kali pada 2000 dan 2011 dan dua kali muncul naib juara (1999 dan 2004), manakala JDT pula menjuarainya sekali pada 2016 dan naib juara (2013).

Sementara itu, pemerhati sukan tempatan, Mohd Sadek Mustafa menyifatkan peluang untuk TFC dan JDT memenangi perlawanan itu adalah 50-50 walaupun Harimau Selatan berstatus pasukan pilihan.

Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam itu berkata, skuad Penyu memerlukan semangat luar biasa seperti mana dipamerkan KL City ketika mengalahkan JDT di final Piala Malaysia tahun lalu.

Maksudnya TFC kena ambil semangat KL City untuk mengalahkan JDT di final Piala FA bagi menidakkan semua elemen lain.

“Kalau mereka (TFC) mengekalkan disiplin, peluang tetap 50-50. Ketika Piala Malaysia (tahun lalu), ramai meramalkan JDT sebagai pilihan dan terlalu ramai meletakkan tekanan kepada JDT untuk menang, itu memberi tekanan juga kepada pemain bagi mencapainya.

sumber:- BH

“Final ini satu perlawanan sahaja, siapa yang berdisiplin dan berjaya menggunakan peluang yang ada, mereka akan dapat kemenangan walaupun bukan pasukan pilihan,” katanya.