sukan

Permintaan Bergson kepada penyokong JDT

Selepas enam musim tidak membawa pulang Piala FA ke bumi Johor, striker Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson Da Silva berazam mencurahkan segalanya untuk menjulang trofi itu pada final di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Sabtu ini.

Bergson berkata, dia akan cuba berada di kemuncak prestasi seperti mana dalam kebanyakan perlawanan sebelum ini selain meneruskan momentum jaringan buat Harimau Selatan.

Malah, striker berusia 31 tahun dari Brazil itu berharap peminat JDT dapat memenuhi Stadium Nasional pada hari perlawanan dan memainkan peranan sebagai pemain ke-12 untuk membantu pasukan.

“Sepanjang tempoh persiapan ke final, kami akan perbaiki segala kekurangan serta cuba berada di tahap terbaik supaya segalanya akan berjalan lancar pada hari perlawanan.

“JDT sudah lama tidak menang dalam kejohanan Piala FA dan sudah tentu saya serta rakan sepasukan akan berikan segalanya pada perlawanan akhir ini.

Saya berazam untuk berada di tahap terbaik pada hari perlawanan dan cuba mengulangi prestasi yang sama seperti mana yang dilakukan pada perlawanan sebelum ini.

“Kepada penyokong JDT, saya harap semua dapat hadir ke Stadium Nasional kerana kami amat perlukan anda sebagai pembakar semangat dan kami akan berikan yang terbaik untuk anda semua,” katanya.

Bergson pasti menjadi tumpuan utama dalam perlawanan akhir itu dengan dia setakat ini sudah meledak 23 gol secara keseluruhan yang mana 21 daripadanya di Liga Super dan dua di Piala FA.

sumber:- BH

Untuk rekod JDT pernah menjulang Piala FA pada 2016 selain muncul naib juara pada 2013 selepas tewas 1-0 di tangan Kelantan.