sukan

Komen Nafuzi tindakan Rahadiazli

Ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain menegaskan bahawa dia tidak menyesal menurunkan penjaga gol muda, Rahadiazli Rahalim pada aksi final Piala FA di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam tadi.

Ia susulan pemain berusia 21 tahun itu dilihat melakukan kesilapan apabila keluar dari posisinya hingga membolehkan Bergson Da Silva meledak gol ketiga Johor Darul Ta’zim (JDT).

Mengakui Rahadiazli melakukan kesilapan, Nafuzi bagaimanapun menjelaskan tidak akan menghukum penjaga gol itu dan memahami kekurangan pengalaman serta tekanan yang dihadapi pemain muda.

Malah, beliau menganggap ia sebagai proses pembelajaran buat Rahadiazli dan barisan pemain muda yang lain untuk terus meningkatkan prestasi terutama apabila beraksi dalam perlawanan besar.

Saya tak pernah menyesal letak pemain saya. Sebelum ini pun lawan Negeri Sembilan dia tangkap terlepas dan kita kalah 2-1, tapi perlawanan seterusnya dia masih bermain.

Saya bukan jenis jurulatih yang menutup ruang untuk pemain terutama pemain muda. Ini semua proses belajar, pada mata saya, banyak lagi pemain-pemain ini perlu belajar.

“Tapi dengan kesilapan dalam perlawanan besar seperti ini, ia perlu dibayar dengan harga yang mahal. Apa pun dia sudah bagi yang terbaik, tanpa aksi cemerlang dia di separuh akhir tak mungkin kami sampai ke final,” katanya.

Kekalahan 3-1 di tangan JDT menyaksikan TFC tidak berjaya merealisasikan impian mereka untuk membawa pulang Piala FA selepas kali terakhir skuad Penyu memenangi trofi itu pada 2011.

Selain itu, Nafuzi turut mengakui bahawa jurang kualiti dan pengalaman yang dimiliki barisan pemain JDT menjadi perbezaan utama dengan pasukannya.

Saya faham ini perlawanan akhir, situasinya berbeza dengan liga biasa dan kita tengok dari segi pemain terutama TFC, majoriti pemain muda.

Pemain JDT sudah banyak pengalaman beraksi di final dan kita nampak tahap berbeza TFC dengan JDT. Tapi saya berasa kami sudah berikan persembahan yang baik.

sumber:- BH

“JDT jauh lebih baik berbanding kami untuk perlawanan akhir ini. Kualiti di bahagian tengah mereka lebih baik berbanding TFC dan sebab itu pemain sayap kami seperti Faisal Halim tak dapat terima bola,” katanya.