sukan

Komen pemain terbaik perlawanan selepas Julang kejuaraan

PEMAIN sayap lincah, Arif Aiman Mohd Hanapi mendedikasikan kejayaan membantu Johor Darul Ta’zim (JDT) menjulang Piala FA 2022 dengan menumpaskan Terengganu FC 3-1, kepada pemilik kelab, Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Arif Aiman berkata, Tunku Ismail merupakan individu yang banyak memberi dorongan kepadanya sehingga berjaya menjadi seorang daripada pemain dalam kesebelasan utama JDT ketika ini.

Saya memang tidak sangka dapat main dengan JDT sebelum ini kerana fikir susah rebut tempat dalam kesebelasan utama memandangkan pasukan mempunyai ramai pemain berkualiti tinggi.

“Namun, saya nak ucap terima kasih kepada TMJ kerana baginda, sebab saya berada di sini.”Baginda selalu beri motivasi supaya main dengan agresif dalam setiap perlawanan dan percaya kepada saya selama ini,” katanya pada sidang media selepas perlawanan akhir Piala FA 2022, di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.

Beliau yang menjaringkan gol pertama JDT dalam final itu pada minit ke-34 berasa amat teruja dapat membantu ‘Harimau Selatan’ meraih kembali Piala FA selepas kali terakhir memenanginya pada 2016 dengan menewaskan PKNS FC, 2-1.

Penganjuran Piala FA dibatalkan pada 2020 dan 2021 susulan pand3mik C0vid-19.Sementara itu, Bergson da Silva, yang muncul wira JDT selepas menjaringkan dua gol pada perlawanan akhir, gembira kerana memainkan peranan besar dalam membantu pasukannya merangkul gelaran Piala FA.

Dalam pada itu, striker kelahiran Brazil tersebut mengakui bahawa pemikiran untuk menjadi pemain naturalisasi untuk Harimau Malaya tidak pernah terlintas di fikirannya, sekiranya peluang itu timbul suatu hari nanti.

“Saya suka negara ini dan rakyat di sini tetapi tidak tahu apa yang akan berlaku selepas ini,” katanya.

Bagi Kapten TFC, Kipre Tchetche, mengakui JDT beraksi jauh lebih baik berbanding pasukannya pada perlawanan akhir, selain berikrar membantu pasukan pantai timur menamatkan kempen Liga Super 2022 sebagai naib juara.

TFC, yang mempunyai satu perlawanan kini berada di kedudukan keempat dengan 29 mata selepas 17 perlawanan.

sumber:- SH

Sabah FC berada di kedudukan kedua dengan 36 mata manakala Negeri Sembilan FC di tempat ketiga dengan 35 mata selepas 18 perlawanan.