sukan

Padang becak punca kekalahan Sri Pahang

Pengalaman dan keadaan padang becak antara faktor kekalahan 0-2 Sri Pahang FC kepada Kuala Lumpur City FC (KL City) di Stadium Darul Makmur, malam tadi.

Pengendali Sri Pahang, Datuk Dollah Salleh berkata, faktor itu menyebabkan anak buahnya tidak dapat beraksi dengan baik hingga membenarkan lawan membawa pulang tiga mata.

Bagi saya, hari ini (malam tadi) Sri Pahang serba tidak menjadi termasuk keadaan padang becak yang menyebabkan pemain tidak dapat memberikan persembahan yang diinginkan.

Namun, faktor pengalaman KL City yang beraksi di peringkat tertinggi (Piala Konfederasi Bolasepak Asia) menyebabkan kita tidak dapat bersaing.

“Pemain berusaha untuk memberikan tekanan kepada lawan tetapi KL City beraksi dengan baik,” kata bekas pemain kebangsaan itu.

Pada perlawanan itu, masing-masing satu gol setiap babak yang dijaringkan KL City menyebabkan Sri Pahang berputih mata di halaman sendiri.

Gol KL City, masing-masing satu dijaringkan oleh Muhammad Haqimi Azim Rosli dan Zhafri Yahya pada minit ke-30 dan 72.

Kekalahan itu menyaksikan skuad Tok Gajah kekal berada di kedudukan ketujuh dengan mengutip 21 mata daripada 18 perlawanan.

Justeru, Dollah mahu anak buahnya mempertingkatkan prestasi masing-masing seperti yang dipersembahkan sebelum ini.

sumber:- BH

“Saya mahu pemain mengembalikan momentum kemenangan untuk memperbaiki kedudukan dalam saingan Liga Super,” katanya