sukan

Tiada pilihan lain, buat kejutan kepada Korea Selatan

Skuad bawah 19 (B-19) tahun negara mahu menempah tiket ke Piala Asia tahun depan lebih awal tanpa mengharapkan ehsan pasukan lain yang mungkin menjerat diri sendiri sekaligus terkeluar daripada persaingan.

Pasukan muda negara yang dibimbing Hassan Sazali Waras diletakkan dalam Kumpulan E pada pusingan kelayakan Piala Asia di Mongolia bakal berdepan laluan berliku apabila diletakkan sekumpulan dengan gergasi Asia, Korea Selatan serta Sri Lanka dan tuan rumah Mongolia.

Berdasarkan format kelayakan, hanya juara daripada setiap 10 kumpulan akan layak secara automatik, dengan lima lagi slot diberikan kepada lima naib juara terbaik selain Uzbekistan yang sudah layak selaku tuan rumah.

Justeru, menyedari agak sukar untuk menundukkan Korea Selatan yang dijangka menjuarai Kumpulan E nanti, maka Malaysia tiada pilihan lain apabila perlu beraksi lebih daripada 200 peratus bagi mengejutkan gergasi Asia itu selain wajib memastikan tiga mata penuh dilakar ke atas Mongolia dan Sri Lanka.

Jelas Hassan, dua aksi awal berdepan Mongolia dan Sri Lanka perlu digunakan sebaiknya sebelum turun men3ntang Korea Selatan di perlawanan terakhir kumpulan nanti.

“Sasaran saya sebolehnya adalah maksimum sembilan mata untuk kita layak secara merit, perancangan saya adalah untuk mendapatkan dua kemenangan awal men3ntang Mongolia dan Sri Lanka.

“Dengan Korea Selatan, saya harap kita mampu sekurang-kurangnya seri dengan mereka supaya peluang kita untuk ke peringkat seterusnya lebih cerah,” katanya sebelum berlepas ke Mongolia dari Lapangan Terbang Antarbangsa Kuala Lumpur, Sepang, malam tadi.

Ditanya mengenai cuaca sejuk di sana, Hassan percaya anak buahnya akan mampu menyesuaikan diri, di mana suhu di Mongolia ketika ini sekitar 10 hingga 17 darjah celsius.

sumber:-HM

Skuad negara akan turun men3ntang Mongolia di Stadium MFF, Ulaanbaatar pada Rabu ini, diikuti Sri Lanka (Jumaat) sebelum menghadapi cabaran Korea Selatan (Ahad).