Skuad bawah 19 (B-19) tahun negara memulakan kempen kelayakan Piala Asia B-20 2023 dengan meraih satu mata apabila terikat 1-1 dengan tuan rumah, Mongolia di Stadium MFF, Ulaanbaatar, sebentar tadi.
Mongolia yang dilihat bermula lebih garang berjaya berada di depan pada minit ke-24 menerusi sepakan penalti yang disempurnakan Buyannemekh Ganbat.
Skuad negara cuba bangkit dengan menggandakan asakan selepas itu, namun gagal menemui sentuhan jaringan yang menyaksikan babak pertama memihak Mongolia.
Usaha keras anak buah Hassan Sazali Waras berterusan sebaik bersambung babak kedua dan hasilnya, mereka berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-54 selepas rembatan Aliff Izwan Yuslan tertampan pertahanan lawan sebelum menerjah jaring.
Skuad negara dan Mongolia saling mengasak hingga penghujung permainan, namun tiada jaringan yang terhasil dan menyaksikan kedua-dua pasukan terpaksa berpuas hati dengan satu mata.
Saingan Kumpulan E kini dipimpin Korea Selatan yang mengumpul tiga mata selepas membelasah Sri Lanka 6-0 dalam aksi yang turut berlangsung, hari ini.
sumber:-BH
Seterusnya, anak buah Hassan Sazali akan mengharungi aksi kedua kumpulan berdepan Sri Lanka di gelanggang sama, Jumaat ini.