Aksi antara Kedah Darul Aman FC men3ntang Selangor FC di Stadium Darul Aman malam ini adalah satu pertembungan menarik apabila menampilkan pertembungan antara dua pasukan yang dilihat sudah bangkit seketika dari ‘lena’.
Kedah dan Selangor menjadi antara pasukan bergelut dalam Liga Super pada musim ini dengan kedudukan keenam buat Sang Kenari dan kedudukan kelapan untuk The Red Giants langsung tidak mencerminkan reputasi mereka sebagai antara gergasi bola sepak tempatan.
Selepas terhuyung-hayang dengan prestasi tidak menentu, mereka dilihat kembali ke landasan sebenar dalam beberapa perlawanan terakhir – mungkin juga baru bertemu rentak yang dimahukan ketika saingan menghampiri penghujungnya.
Anak buah Aidil Sharin Sahak memenangi dua daripada tiga perlawanan terakhir manakala semangat skuad bimbingan Nidzam Jamil pasti berada pada tahap tertinggi – berjaya mengikat pendahulu, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan mengejutkan pasukan di tangga kedua, Sabah FC.
Perkembangan ini sudah pasti melegakan penyokong kedua-dua pasukan meskipun kebangkitan yang diharapkan agak lewat tetapi persoalannya, adakah kebangkitan ini bertaraf kebangkitan sejati atau satu lagi prestasi ‘one-off’?
Apa yang merisaukan buat Selangor adalah sudah tentu konsistensi yang akan ditunjukkan mereka untuk bertemu Kedah kerana dibimbangkan pemain hanya bersemangat bagaikan ‘tiada hari esok’ ketika menentang pasukan yang berada di atas..
Ketika diharapkan untuk menang, Selangor tersungkur tetapi apabila dijangka sebaliknya, mereka tampil penuh kejutan seperti ditunjukkan mereka dalam dua perlawanan terakhir.
Justeru, cabaran buat anak buah Nidzam adalah untuk membuktikan yang mereka benar-benar sudah bangkit dan menunjukkan aura Gergasi Merah yang sebenar selepas hampir keseluruhan musim membungkam dengan prestasi tidak menentu.
Kedah pula pasti tidak dapat melupakan tragedi dibelasah lawan sama dengan keputusan 4-1 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ). Jadi tiada tempat paling baik untuk menebus maruah selain di hadapan puluhan ribu penyokong sendiri.
Sementara itu, bagi satu lagi aksi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, naib juara Piala FA, Terengganu FC (TFC) perlu berhati-hati bagi mengelak ‘luka lama berdarah’ kembali apabila turun berdepan Penang FC, malam ini.
Ini kerana pasukan tercorot itu berjaya mengejutkan skuad Penyu 2-1 pada aksi pertama, namun situasi kurang baik sedang dialami skuad bimbingan Datuk Zainal Abidin Hassan itu selepas lima kekalahan dalam lima perlawanan terakhir.
Justeru, anak buah Nafuzi Zain sudah pasti perlu mengelak daripada termasuk perangkap buat kali kedua, apatah lagi perlawanan ini menyajikan peluang terbaik untuk mereka ‘memotong’ kelebihan enam mata dimiliki Negeri Sembilan FC (NSFC) kepada tiga mata.
sumber:-BH
Semangat mereka pasti membara untuk memburu slot ke Piala AFC tetapi seandainya gagal sekalipun setakat menentang pasukan di tangga ke-12, mungkin ini petanda bahawa mereka seharusnya melupakan hasrat ke saingan peringkat Asia musim depan.