Ketua jurulatih Petaling Jaya (PJ) City, P Maniam percaya pasukannya boleh mencipta sesuatu berdepan juara Liga Super lapan kali berturut-turut, Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, malam esok.
Pengendali berusia 53 tahun itu bagaimanapun menegaskan keputusan positif hanya boleh dicapai dengan syarat anak buahnya dapat menunjukkan karakter luar biasa pada perlawanan itu.
Katanya, kejayaan menamatkan kemarau 13 perlawanan tanpa kemenangan selepas menewaskan Selangor 1-0 pada 21 Ogos lalu menjadi tonik buat pasukannya berdepan Harimau Selatan.
“Terlalu lama, saya rasa enam bulan kami tak menang dan selepas itu menang dengan Selangor. Selangor satu pasukan yang kuat dan kita boleh nampak pemain bermain dengan semangat yang tinggi serta menunjukkan karakter yang bagus.
“Kalau kita tengok JDT satu pasukan yang begitu kuat. Mereka memenangi Piala FA dan sudah pasti moral serta tahap keyakinan mereka sangat tinggi.
“Bukan senang untuk PJ City berdepan JDT, tapi pemain harus menunjukkan satu karakter yang luar biasa dan bermain sebagai satu pasukan. Saya rasa kita boleh cipta sesuatu semasa bermain dengan JDT,” katanya dalam temu bual bersama Liga Bolasepak Malaysia (MFL).
PJ City yang sudah mengharungi 17 perlawanan liga musim ini berada di kedudukan ke-10 dengan mengumpul 16 mata selepas hanya merekodkan tiga kemenangan dan tujuh kali seri.
sumber:-BH
Kedudukan itu jauh berbeza dengan JDT yang mengumpul 42 mata dalam 16 perlawanan dan berada di kedudukan teratas Liga Super.