sukan

Kami berhak mendapat keputusan lebih baik

Ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Hector Bidoglio tidak menyalahkan barisan pemainnya selepas terikat 2-2 berdepan pasukan tanpa pemain import, Petaling Jaya (PJ) City di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, semalam.

Harimau Selatan dilihat boleh membawa pulang tiga mata pada perlawanan itu, namun kealpaan benteng pertahanan mereka di penghujung perlawanan dihukum dengan jaringan penyamaan R Kogileswaran pada masa kec3deraan.

Bidoglio bagaimanapun menjelaskan anak buahnya sudah memberikan aksi terbaik dan sedar sukar untuk mereka mengekalkan tahap permainan tertinggi apabila terpaksa berdepan perlawanan padat.

Dia berkata, JDT sepatutnya mendapat keputusan yang lebih baik berdasarkan penguasaan yang ditunjukkan Harimau Selatan berbanding PJ City sepanjang perlawanan.

Kami berhak mendapat (keputusan) lebih baik kerana keputusan seri tidak mencukupi dan kami melakukan yang terbaik untuk memenangi perlawanan.

“Kadang-kadang perkara begini berlaku dalam bola sepak dan ia tidak menjadi masalah kepada kami. Kami adalah pasukan yang mempunyai rekod jaringan terbaik dalam liga.”

Apa pun kami menjaringkan dua gol dan jaringan di tempat lawan sentiasa bagus, tetapi kami perlu meningkatkan kemahiran kami dalam aspek lain.

“Kami beraksi banyak perlawanan berturut-turut dan pemain merasai perkara itu. Bukan mudah untuk mengekalkan intensiti permainan. Ketika perlawanan ini, kami mengekalkan intensiti dan menekan lawan, itulah yang positif untuk pasukan,” katanya.

Walaupun meraih satu mata, ia tidak menjejaskan perjalanan JDT yang berada pada landasan terbaik untuk mempertahankan kejuaraan Liga Super buat kali kesembilan berturut-turut sejak 2014.

sumber:- BH

Harimau Selatan kini mengumpul 43 mata selepas mengharungi 17 perlawanan, tujuh mata di depan Sabah yang sudah beraksi 18 perlawanan.