sukan

Lebih sengit, beberapa pasukan atur persediaan

Saingan Liga Super musim depan dijangka lebih sengit apabila kini beberapa pasukan sudah mula mengatur persediaan biarpun kempen liga musim ini masih lagi belum berakhir.

Pasukan seperti Perak FC, Selangor FC dan Kedah Darul Aman FC dikhabarkan antara yang sudah mengorak langkah membentuk skuad mantap menjelang musim 2023.

Menurut pemerhati bola sepak tempatan, Profesor Madya Dr Zulakbal Abd Karim, keghairahan beberapa pasukan mungkin didorong oleh kejayaan Liga M yang diberi dua slot automatik ke peringkat Kumpulan Liga Juara-Juara Asia (ACL) pada musim depan.

Sejak beberapa tahun lalu JDT (Johor Darul Ta’zim) sering layak ke ACL sebab hanya satu slot saja disediakan untuk Malaysia. Tapi untuk musim 2024, Liga M akan dapat dua slot jadi mungkin itu sebabnya pasukan-pasukan lain mahu merebut peluang untuk bermain di ACL dengan buat persiapan awal.

Ia senario yang positif kerana ia akan wujudkan saingan lebih kompetitif dalam liga kita musim depan. Semua pasukan nak main di ACL seperti JDT, dan ini petanda yang bagus buat liga kita.

“Kita kena ingat, ACL pentas yang tertinggi jadi sudah tentu pelaburan ke atas pasukan juga tinggi. Tapi walaupun tinggi, ‘ROI’ (pulangan pelaburan) yang kelab-kelab akan dapat juga macam-macam.

“Penaja pun akan banyak masuk dan penyokong pun akan ramai yang turun. Cuma di sini saya harap, kelab perlu lebih bijak dan aktif buat program-program bersama penyokong untuk kuatkan ‘fans base’ dari bawah,” katanya kepada Arena Metro.

Ketika ini, ranking kelab Liga M adalah di tangga kelapan terbaik Asia dan yang pertama di rantau Asia Tenggara.

Kedudukan tertinggi dalam ranking itu memberikan lebih banyak slot untuk pasukan Liga M dalam pertandingan AFC seperti ACL mulai musim 2024.

Ia bermakna Liga M sah diberikan slot 2+2 iaitu dua slot automatik ke peringkat kumpulan ACL dan dua slot lagi ke peringkat play-off.

Kata Zulakbal yang juga Pensyarah Kanan Sains Kejurulatihan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu, penambahan pasukan Liga Super kepada 18 pasukan mulai musim depan juga menambah kerancakan pasukan bertanding yang berlumba mahu menamatkan kedudukan dua tangga teratas.

“Dulu mungkin semua boleh agak wakil negara ke ACL mesti dapat kat JDT. Tapi sekarang nak main kat ACL dah ada peluang sebab ada dua slot. Jadi saya harap peluang ini digunakan sebaiknya oleh pasukan untuk merebutnya,” katanya.

sumber:- HM

Beliau memilih lima pasukan selain JDT untuk merebut satu lagi tiket ACL iaitu antara Selangor, Kedah, Perak, Terengganu FC dan Melaka United.