sukan

Pan gon jawab isu pilih pemain yang ‘diperam’

Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan Gon menjelaskan bahawa dia tidak terlalu melihat kepada minit permainan yang dimiliki pemain bersama kelab dalam memilih mereka untuk menyertai Harimau Malaya.

Sebaliknya, pengendali dari Korea Selatan itu menegaskan bahawa pemilihan pemain lebih kepada berdasarkan karakter dan bakat mereka yang mana ia perlu sesuai dengan falsafah yang diterapkan dalam skuad Harimau Malaya.

Penjelasan Pan Gon itu seakan sudah menjawab mengapa beberapa nama pemain yang dilihat kerap berada di bangku simpanan bersama kelab seperti Akhyar Rashid, Safawi Rasid, Mohamadou Sumareh dan Syafiq Ahmad turut dipanggil menyertai skuad kebangsaan.

Apabila saya memilih pemain, saya lihat karakter mereka, ia sangat penting. Walaupun dia hanya bermain 10 minit, jika dia mempunyai karakter yang sangat baik dan berbakat, saya senaraikan mereka.

Bagi saya, minit permainan tidak terlalu penting. Sesetengah pemain memiliki minit permainan yang sedikit, tetapi dia mempunyai karakter yang bagus dan sesuai dengan DNA kami.

“Secara umumnya kami cuba mencari pemain yang ada karakter dan mentaliti tinggi serta perlu bersedia secara fizikal dengan beraksi pada tahap tertinggi pasukan kebangsaan,” katanya.

Pan Gon memanggil 25 pemain untuk menyertai latihan pusat bermula, semalam sebagai persiapan untuk kejohanan Piala Raja Thai di Chiang Mai, Thailand dari 22 hingga 25 September ini.

Malaysia yang berada di kedudukan ke-148 dunia akan men3ntang tuan rumah yang juga pasukan di ranking ke-111, Thailand pada 22 September manakala Trinidad & Tobago (101) akan bertemu Tajikistan (109) pada hari yang sama.

Pemenang kedua-dua perlawanan itu akan bertemu di final dan pasukan yang kalah akan bersaing untuk merebut tempat ketiga pada 25 September ini.

Selain itu, Pan Gon menjelaskan bahawa kedudukan ranking pasukan bukan halangan untuk skuad negara tidak mampu mempamerkan aksi terbaik dalam kejohanan itu.

sumber:- BH

“Kedudukan ranking adalah mengenai apa yang pasukan lakukan dalam tahun-tahun sebelum ini dan bukan menggambarkan pada masa ini. Kami akan cuba memberikan persembahan terbaik untuk bersaing,” katanya.