sukan

LTK akan tumpu kepada pemain muda berbanding import

Perak FC akan memberi lebih tumpuan kepada pemain muda tempatan berbanding import dalam kancah Liga M musim hadapan.

Pengendali baharu Perak FC musim 2023, Lim Teong Kim berkata, pihaknya masih berunding berkenaan pemain yang akan dibawa masuk pada musim baharu.

“Kita sedang berunding dan masih berbincang, belum tahu lagi berapa pemain yang akan disimpan dan berapa pemain yang akan dibawa ke dalam pasukan yang baharu.

“Apa yang saya boleh katakan adalah ramai adalah pemain yang muda dan tempatan,” kata Teong Kim dalam satu sidang media khas bersama pegawai pengurusan Perak FC di Stadium Perak di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas berapa ramai pemain sedia ada dikekalkan pada perlawanan musim hadapan.

Hadir sama, Pengerusi Perak FC, Datuk Seri Abdul Azim Zabidi dan Ketua Pegawai Eksekutif Perak FC, Bobie Farid Shamsuddin.

Teong Kim berkata, ini kerana ramai sebenarnya pemain muda tempatan berpotensi dalam negara yang boleh diketengahkan.

“Falsafah di sini adalah memberi peluang kepada pemain tempatan, tetapi kita juga perlu bantuan daripada pemain luar negara untuk menjadi sebagai “someone to hold the team” (tunjang pasukan).

“Namun, ramai pemain muda akan diberi peluang untuk menunjukkan kehebatan mereka. Kamu sendiri boleh lihat berapa ramai pemain luar bermain, jadi mana budak tempatan nak bermain, di liga kampung?,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Perak FC, Datuk Seri Mohd Azim Zabidi berkata, pihak pengurusan memberikan kebebasan kepada Teong Kim untuk menentukan senarai pemain, namun bergantung kepada bajet yang bakal diperuntukan kelab.

sumber:-BH

“Salah satu daripada matlamat Perak FC yang akan kita tumpukan adalah pembangunan pemain muda yang perlu diasah dan diasuh supaya mereka ini jadi pemain yang hebat dan dapat diserap di dalam skuad utama Perak FC,” kata Mohd Azim.