sukan

Nasrulhaq jadi rebutan pasukan Liga M

Penjaga gol nombor satu Terengganu FC II (TFC II), Syed Muhammad Nasrulhaq Syed Bidin enggan memikirkan tawaran daripada pasukan lain dalam kancah Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Sebaliknya penjaga gol skuad kebangsaan Bawah 23 Tahun (B-23) itu tekad mahu terus menabur bakti di bumi Darul Iman dalam misi membantu skuad Terengganu FC (TFC) melakar kejayaan.

Bagaimanapun pemain kelahiran Kampung Bukit Tunggal, Kuala Nerus berketinggian 1.80 meter itu sedar dia perlu bersaing dengan penjaga gol lain dalam skuad Penyu selepas Liga Perdana dimansuhkan mulai tahun 2023.

“Saya ada menerima tawaran daripada beberapa pasukan lain dalam saingan Liga M musim depan, namun saya belum lagi bersedia memikirkan tawaran itu.

“Selain berazam untuk membantu negeri kelahiran mencapai kejayaan musim depan, saya juga masih mempunyai kontrak semusim lagi bersama TFC Sdn Bhd.

“Bagaimanapun ianya juga bergantung kepada keadaan, jadi saya serahkan kepada pihak pengurusan yang sudah pasti mempunyai perancangan lebih baik apatah lagi Liga Perdana sudah tidak ada lagi musim depan,” katanya ketika dihubungi.

Ketika ditanya adakah dia berpuas hati dengan pencapaian skuadnya musim ini yang menamatkan saingan Liga Perdana di kedudukan keempat, penjaga gol berusia 23 tahun itu meluahkan nada kecewa.

“Bagi minit permainan saya gembira, tapi untuk prestasi diri sendiri sedikit kecewa kerana sasaran awal kami adalah di kedudukan ketiga terbaik liga, namun syukur kerana prestasi pemain muda dan tempatan semakin meningkat.

sumber:-HM

“Terima kasih buat barisan kejurulatihan yang diketuai Badrul Afzan Razali kerana memberikan peluang kepada kami beraksi sepanjang musim ini,” katanya yang pernah beraksi bersama skuad B-23 kebangsaan menentang Laos dalam Kejohanan Persekutuan Bolasepak Asean (AFF) di Phnom Penh, Kemboja Februari lalu.