sukan

Pulau Pinang tak akan bagi peluang

Skuad bola sepak Pulau Pinang mahu memastikan perjalanan jauh mereka ke Lembah Klang bagi mengambil bahagian dalam Sukan Malaysia (Sukma) 2022 berbaloi.

Justeru, jurulatih Pulau Pinang, Akmal Rizal Ahmad Rakhli mengakui percaturan dan strategi lebih baik perlu direncanakan untuk mengatasi pasukan Wilayah Persekutuan (WP) dalam aksi separuh akhir, esok.

“Ini satu pengalaman manis sebagai jurulatih yang baharu dan saya gembira dengan kejayaan mara sehingga ke separuh akhir. Saya akan cuba yang terbaik untuk membawa pemain melayakkan diri ke final.

“Kita sudah sampai ke separuh akhir, jadi apa gunanya kalau hanya berhenti di separuh akhir dan sudah tentu kami mengimpikan untuk ke perlawanan akhir.

“Saya akan sediakan pasukan dengan perancangan yang terbaik untuk menghadapi perlawanan seterusnya,” katanya.

Akmal turut mengharapkan barisan pemainnya perlu lebih bersedia dengan sebarang kemungkinan memandangkan siapa pun lawan menanti mereka sudah tentu pasukan yang terbaik kerana turut layak ke separuh akhir.

“Masih ada kesilapan yang perlu diperbaiki dalam masa sehari ini sebelum turun bagi aksi separuh akhir. Perlawanan separuh akhir ini sudah pasti menjanjikan satu lagi aksi yang cukup sukar buat kami.

“Tetapi saya lihat pemain sudah bersedia cuma saya perlu menilai terlebih dahulu keadaan pemain yang sesuai dan mampu untuk diturunkan,” katanya.

Untuk rekod, skuad Pulau Pinang mara ke peringkat separuh akhir selepas menewaskan Kelantan 5-4 menerusi penentuan sepakan penalti apabila aksi 120 minit berakhir dengan keputusan seri, 2-2.

Skuad WP pula mara selepas menundukkan Johor 5-4 juga menerusi sepakan penalti selepas masing-masing terikat 1-1.

sumber:-HM

Manakala, satu lagi aksi separuh akhir membabitkan pertemuan di antara Selangor dan Terengganu.